Tak adil salahkan Dr Zaliha, keputusan tidak teruskan tindakan perundangan pilihan muktamad Jakel

Tangkap layar Mohamed Faroz dalam satu video di TikTok.
Tangkap layar Mohamed Faroz dalam satu video di TikTok.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketetapan untuk tidak meneruskan sebarang tindakan perundangan terhadap mana-mana pihak berhubung isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India Kuala Lumpur adalah keputusan muktamad Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel).

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, keputusan itu dibuat setelah membuat rundingan bersama penasihat undang-undang syarikat berkenaan dan mengambil kira pendekatan damai yang terbaik untuk semua pihak.

Sehubungan itu katanya, tidak adil menuding jari kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa selepas menyatakan pandangan berkemungkinan implikasi undang-undang dan sosial sekiranya isu ini berpanjangan.

“Adalah tidak adil untuk menuding jari kepada beliau, sedangkan beliau telah memainkan peranan penting dalam mempermudah dan merealisasikan pembinaan Masjid Madani iaitu sebuah projek yang sangat bermakna buat kami sekeluarga dan seluruh masyarakat.

“Tanpa penglibatan beliau, usaha ini tidak akan dapat dicapai seperti yang berlaku hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Mohamed Faroz, kenyataan yang disampaikan secara spontan semasa Majlis Pecah Tanah Masjid Madani baru-baru ini juga tidak berniat untuk meletakkan sebarang kesalahan ke atas Dr Zaliha.

Beliau berkata, penggunaan perkataan ‘menghalang’ dalam ucapannya telah menimbulkan kekeliruan meskipun ia bersifat spontan dan tanpa niat untuk memburukkan mana-mana pihak.

“Saya tidak pernah berniat untuk meletakkan sebarang kesalahan ke atas Dr Zaliha. Malangnya, satu petikan audio daripada keseluruhan ucapan telah diambil dan disiarkan secara terpisah oleh sesetengah media sehingga menimbulkan tafsiran yang tidak tepat serta reaksi kurang menyenangkan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamed Faroz berharap agar semua pihak tidak lagi memperbesarkan isu tersebut dan bersama memelihara perpaduan serta keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Marilah kita bersama-sama memelihara keharmonian, saling menghormati dan mengutamakan perpaduan dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!