Pemilik bengkel didakwa sumbang mahram anak tiri

AMPANG - Seorang pemilik bengkel kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan melakukan sumbang mahram dengan anak tiri perempuannya ketika mangsa berusia sembilan dan 14 tahun.
Lelaki berusia 31 tahun itu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Nurulizwan Ahmad Zubir.
Mengikut pertuduhan, dia yang diamanahkan sebagai bapa tiri didakwa melakukan persetubuhan dengan anak perempuannya semasa mangsa berumur sembilan tahun tujuh bulan.
Kejadian kedua didakwa dilakukan ketika mangsa berusia 14 tahun lima bulan yang mana hubungan tertuduh dengan mangsa tidak dibenarkan di bawah undang-undang dan hukum agama yang terpakai untuk lelaki itu berkahwin dengan mangsa.
Kejadian didakwa dilakukan di dua unit kediaman berlainan di Bandar Country Homes, Rawang, pada jam 2 petang akhir April 2020 dan 2 petang pertengahan Februari lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Seksyen 376B memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun serta sebatan sementara Seksyen 16 (1) yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin tidak menawarkan jaminan bagi kedua-dua pertuduhan.
“Ia bagi mengelak tertuduh mengganggu mangsa memandangkan tertuduh merupakan bapa tiri dan tinggal serumah dengan mangsa,” katanya.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu diberi ikat jamin kerana perlu menyara anak, ibu yang sakit dan kakak yang juga orang kurang upaya (OKU).
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim, Nurulizwan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 April depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

