Pekerja kedai aiskrim dakwa dimaki pelanggan

SHAH ALAM – Seorang pekerja sebuah kedai ais krim di Seksyen 7, di sini mendakwa seorang pelanggan memaki hamun sehingga insiden itu menjadi tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita pada jam 8.42 malam Selasa.
"Mangsa mendakwa dia telah dimaki hamun oleh seorang pelanggan ketika proses pembayaran di kaunter," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Iqbal berkata, suspek telah datang bersama keluarganya ke kedai itu untuk membeli ais krim dan minuman berharga RM6.50.
"Suspek memberikan wang tunai RM10, namun berlaku perselisihan faham apabila mangsa meminta wang syiling 50 sen kerana kekurangan baki dalam mesin tunai.
“Suspek dipercayai menyindir pekerja berkenaan kerana meminta wang syiling tersebut, sebelum mangsa bertindak menutup mesin tunai dengan kuat," katanya.
Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan suspek tidak berpuas hati lalu mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina mangsa.
"Kejadian tersebut bagaimanapun berjaya dileraikan oleh rakan setugas mangsa sebelum suspek meninggalkan premis selepas urusan pembelian selesai," katanya.
Mohd Iqbal berkata, siasatan lanjut mendapati, mangsa menghantar rakaman CCTV kepada ahli keluarganya, sehingga individu tidak bertanggungjawab menularkan rakaman itu di TikTok.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 504 dan 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, 1998," katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa menjaga keharmonian dan perpaduan negara dalam masyarakat berbilang kaum dengan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
"Individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Siti Mahanira Mahat di talian 0176444895," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!