Premis kumpul, asing barang lusuh digempur

KLANG - Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap sebuah premis yang dijadikan pusat pengumpulan dan pengasingan barangan lusuh serta terpakai di kawasan Pandamaran.
Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan, hasil siasatan di lokasi berkenaan mendapati premis tersebut beroperasi tanpa lesen yang sah daripada pihak majlis.
Sehubungan itu, tindakan tegas telah diambil dengan mengeluarkan dua kompaun kepada wakil syarikat yang merupakan pekerja premis berkenaan.
Menurutnya, kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPK) 2007 (UUK3) bagi kesalahan menjalankan operasi tanpa lesen.
"MBDK mengingatkan semua pemilik perniagaan supaya mematuhi peraturan dan mendapatkan lesen yang sah bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
"Operasi penguatkuasaan seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan ditetapkan," menurut hantaran itu di laman Facebook MBDK pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


