[VIDEO] 'Saya niaga untuk kumpul duit pembedahan mata isteri' - 'Pak cik petai'

A
A
A

PORT DICKSON - Peniaga petai yang videonya tular sejak Jumaat memaklumkan dia berniaga kerana mahu mengumpul dana untuk pembedahan mata isteri.

Mohd Noor Saad, 67, berkata, dia bukannya berniaga setiap hari kerana bergantung kepada bekalan petai diperolehnya.

"Petai ini ikut musim dan saya beli daripada Orang Asli di Kuala Pilah. Dapatlah duit sikit-sikit untuk sara diri dan isteri.

"Selain petai, ada kalanya saya jual pucuk ubi kerana nak kumpul duit untuk kos pembedahan mata isteri yang tak nampak disebabkan masalah katarak," katanya ditemui Sinar Harian di rumahnya Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang pada Sabtu.

Mohd Noor menunjukkan motosikal yang digunakan nya untuk berniaga petai.
Mohd Noor menunjukkan motosikal yang digunakan nya untuk berniaga petai.

Jelas bapa kepada dua anak itu, biasanya dia akan membawa 30 ikat petai yang akan dijual enam keping pada harga RM10.

Menurutnya, selagi mempunyai tulang empat kerat, dia akan terus berusaha mencari rezeki tanpa perlu menyusahkan anak-anaknya.

Ini kerana katanya, anak lelakinya hanya bekerja biasa manakala anak kedua suri rumah dan kedua-duanya telah pun berkahwin.

Artikel Berkaitan:

Mohd Noor menunjukkan borang permit berniaga sementara diberi MPPD.
Mohd Noor menunjukkan borang permit berniaga sementara diberi MPPD.

"Jadi saya tak mahu menyusahkan mereka dan saya juga dapat bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM), " katanya.

Sementara itu, dia berharap isu yang berlaku tidak terus dipanjangkan kerana pihak Majlis Perbandaran Port Dickson(MPPD) bersama penguat kuasa terlibat telah pun datang ke rumahnya bagi menjernihkan keadaan.

Malah ujarnya, dia turut ditawarkan MPPD permit berniaga sementara selain diberikan sumbangan kewangan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan.

"Masa kejadian itu memanglah saya dalam keadaan marah, tapi apabila pulang ke rumah hati saya dah tenang.

"Saya pun tak sangka ada orang rekod kejadian berlaku dan tularkan. Jadi saya berharap orang ramai bertenang kerana kes telah pun selesai dan saya pun telah terima apa berlaku," katanya.

Bagaimanapun, dia mengakui apa yang terjadi ada hikmah di sebaliknya apabila pelbagai pihak datang menghulurkan bantuan termasuk wakil rakyat

Tambahnya, ada juga yang datang ke rumahnya untuk mengetahui cerita yang sebenar.

Mohd Noor tinggal di rumah tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin.
Mohd Noor tinggal di rumah tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin.

Sebelum ini tular video seorang peniaga bertindak membuang kesemua barang jualannya di jalan raya sebagai tanda proses kerana tidak dibenarkan berniaga petai menggunakan motosikal.

Kejadian itu dipercayai berlaku di hadapan sebuah pasar raya di daerah ini.

Perkongsian video tersebut mengundang pelbagai reaksi warganet, dengan majoriti meluahkan rasa simpati terhadap lelaki itu.

Ada juga netizen yang meminta MPPD menggunakan budi bicara kerana lelaki tersebut bukan berniaga dengan mendirikan khemah di tepi jalan, sebaliknya hanya menjual barangan menggunakan motosikal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!