Bekas wartawan meninggal dunia di majlis berbuka puasa alumni Harakah

SHAH ALAM - Bekas wartawan Harakah, Abu Bakar Mohd Rashid meninggal dunia selepas rebah di majlis berbuka puasa bersama alumni Harakah yang diadakan di sebuah restoran dekat Kuala Lumpur pada Sabtu.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh seorang pemilik akaun Facebook, Redhuan D Oon yang turut hadir ke majlis berkenaan.
Beliau berkata, Allahyarham rebah sebaik sampai tempat duduk di majlis berbuka alumni Harakah.
Katanya, beberapa rakan segera memberikan bantuan kecemasan (CPR) dan bantuan pernafasan mulut ke mulut sementara menunggu ketibaan pasukan paramedik.
"ALLAH seolah kumpulkan kami semua rakan seperjuangan menatap wajah seorang sahabat sama zaman 1984-95 buat kali terakhir ketika beliau rebah sebaik sampai tempat duduk majlis berbuka kalangan alumni Harakah yang dia bantu susun.
"Walaupun kami berikan CPR dan saya berikan mulut ke mulut seberapa mungkin sehingga paramedik tiba namun kekal tidak ada tanda hayat," katanya pada Ahad.
Majlis berbuka puasa itu dihadiri beberapa tokoh politik antaranya Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, bekas Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli, dan Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad.
Beliau turut mendoakan semoga ALLAH mengampuni dan merahmati Allahyarham.
"Sayu hati tinggalkan majlis. Saya mohon Allah ampuni dia dan merahmatinya. Banyak sangat memori bersamanya.
"Selamat jalan saudara ku. Selamat tinggal abangku Abu Bakar Mohd Rashid," ujarnya.
Redhuan turut berkongsi kenangan bersama Allahyarham antaranya tidur bersama bawa meja kohilal dan Pejabat Agong Pas serta Harakah.
"Selain itu demonstrasi bersama. Bujang sehingga dia berkahwin dengan muslimah Pas," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

