'Majlis pecah tanah pembinaan Masjid Madani diteruskan' - Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa majlis peletakan batu asas bagi pembinaan Masjid Madani di Jalan Masjid India akan tetap diteruskan pada Khamis ini.
Menurutnya, keperluan membina masjid itu adalah bagi menampung kapasiti masjid dan surau sedia ada yang semakin sesak di kawasan berkenaan.
"Saya sendiri akan hadir bagi meletakkan batu asas di tanah wakaf milik Jakel Trading Sdn Bhd, kerana keperluan pembinaan masjid ini adalah jelas.
"Saya minta semua pihak, termasuk jawatankuasa kuil, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jakel, DBKL, berbincang secara sederhana dan sopan bagi memastikan penyelesaian yang harmoni," katanya dalam ucapan sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur, pada Selasa.
Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan bahawa kelulusan untuk membina masjid itu telah diberikan sejak beberapa tahun lalu dengan kelulusan pembinaan masjid diberikan pada 2019, kebenaran pembangunan diluluskan pada 2020 dan 2021, projek mula dibangunkan.
"Ini bukan keputusan saya sahaja, ia sudah melalui beberapa peringkat kelulusan sejak tiga pentadbiran Perdana Menteri yang lalu," katanya.
Beliau turut mengingatkan agar rakyat tidak terpengaruh dengan pihak yang cuba menghasut serta membangkitkan isu perkauman atau agama dalam perkara ini.
Terdahulu, Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, menyatakan bahawa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak berdekatan telah wujud lebih 100 tahun dan tidak pernah dipindahkan seperti dakwaan sesetengah pihak.
Namun, beliau turut mengesahkan bahawa pihak kuil sedang berbincang dengan pemilik tanah, Jakel Trading, bagi mencari penyelesaian terbaik.
Pihak kerajaan berharap agar semua pihak dapat menyelesaikan perkara ini secara harmoni tanpa sebarang ketegangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!