Saravanan yakin isu kuil tidak jejas sokongan pengundi Ayer Kuning

TAPAH - Isu penempatan semula kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur tidak akan menjejaskan sokongan pengundi kepada Kerajaan Perpaduan di Ayer Kuning.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, beliau yakin pengundi, terutama kalangan India sudah matang dan bijak dalam membuat pertimbangan ketika mengundi.
"Kita sudah letak kepercayaan dan keyakinan kepada kerajaan untuk menyelesaikan isu ini.
"Maka saya yakin, ia tidak akan memberi kesan kepada keyakinan pengundi dalam pilihan raya kecil nanti.
"Selama ini pun, sokongan masyarakat India utuh dan tiada masalah dengan kita (kerajaan)," katanya ketika ditemui pemberita dalam program penyerahan sumbangan Aidilfitri kepada sekolah-sekolah menengah dalam Parlimen Tapah di sini pada Isnin.
Saravanan berkata, penjelasan yang diberikan pemimpin masyarakat India termasuk beliau sendiri telah banyak meredakan keadaan.
Katanya, apatah lagi dalam isu tersebut, kerajaan sendiri memberi jaminan untuk menanganinya dengan baik.
"Cukuplah jaminan yang diberi oleh kerajaan. Kita tidak perlu risau dan memperbesarkannya lagi.
"Kita hormat negara ini, Islam sebagai agama rasmi dan akur kepada keputusan kerajaan nanti," katanya.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak menjadi 'jaguh' dalam polemik membabitkan status kuil tersebut.
Pihak yang terlibat dalam isu perpindahan kuil tersebut sedang berunding dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan perkara itu bagi memastikan ia berjalan lancar.
Sementara itu, Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah memaklumkan, sumbangan Aidilfitri kali ini melibatkan 1,029 pelajar Tingkatan Lima dan Enam dari 11 sekolah.
"Ini merupakan program tradisi Pejabat Parlimen Tapah bagi meraikan pelajar-pelajar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!