Empat kes berprofil tinggi tahun lalu 'cabar' PDRM

Razarudin. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Razarudin. FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdepan pelbagai cabaran dalam menguji kredibiliti pasukan tersebut membabitkan beberapa kes berprofil tinggi termasuk serangan berdarah Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang mengorbankan nyawa anggotanya pada tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sepanjang tahun lalu, kredibiliti pasukan Sang Saka Biru itu dituntut untuk merungkai beberapa kes menarik perhatian serta persepsi masyarakat khususnya di platform media sosial.

“Antara kes jenayah yang telah menggemparkan negara sepanjang tahun lalu ialah penahanan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk senjata api beserta 200 butir peluru di Kuala Lumpur.

“Selain itu, tragedi berdarah serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang turut mengorbankan anggota polis dan insiden pencerobohan di Balai Polis Dato’ Keramat, Pulau Pinang," katanya ketika berucap sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-218 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Razarudin berkata, pihaknya juga berjaya membongkar kes eksploitasi agama dan menyelamatkan kanak-kanak dan wanita mangsa penganiayaan serta eksploitasi oleh GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

"Meskipun PDRM sering tular dengan pelbagai kecaman dan tohmahan, saya yakin masyarakat masih meletakkan kepercayaan dan harapan yang tinggi terhadap pasukan keramat tersebut," jelasnya.

Razarudin berkata, pihaknya berharap masyarakat turut membantu memperteguhkan penyampaian perkhidmatan dan integriti warga pasukan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA PDRM).

“Melalui sistem ini, masyarakat boleh menyalurkan sebarang aduan melibatkan warga PDRM. Inilah simbiosis hubungan yang terjalin antara polis dan masyarakat dalam menjamin kesejahteraan negara," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah membuka 126,842 kertas siasatan pada tahun lalu.

"Peratusan penyelesaian kes melebihi 84 peratus iaitu 107,780 kertas siasatan dan peratusan risikan pula berjaya mencecah 95 peratus," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) juga berjaya menumpaskan sebanyak 245 sindiket dadah dan menahan seramai 753 orang dengan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM388 juta.

"Seterusnya, dalam menangani jenayah siber, PDRM menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) berjaya menyelesaikan kes-kes penipuan dalam talian melibatkan kerugian berjumlah RM1.57 bilion," jelasnya.

Razarudin berkata, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) berjaya menyelesaikan sejumlah 9,498 kes dengan memberkas 7,377 tangkapan dan merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM984 juta sepanjang tahun lalu.

"Menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) pula, PDRM telah mengeluarkan sejumlah 4.9 juta saman iaitu peningkatan sebanyak 5.5 peratus dengan nilai kutipan keseluruhan kompaun saman berjumlah lebih RM299 juta," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!