Tokan dadah menyamar nelayan ditahan

SUNGAI PETANI – Taktik seorang tokan dadah yang menyamar sebagai nelayan bagi mengedar bahan terlarang di sekitar perairan Kuala Muda akhirnya terbongkar apabila dia ditahan dalam Ops Tapis pada Ahad.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, lelaki berusia 40-an dari Seberang Perai Utara (SPU), Pulau Pinang, dikesan menggunakan laluan air bagi mengedar dadah ke daerah ini bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Hasil siasatan lanjut mendapati suspek baru sahaja menjadikan jeti di Kota Kuala Muda, Kedah sebagai lokasi baharu untuk menjalankan aktiviti haram selepas lokasi lamanya di SPU kerap diserbu polis.

"Modus operandinya ialah menggunakan bot dan menyamar sebagai nelayan untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya ketika ditemui semasa majlis berbuka puasa bersama anggota di Dataran Jam Besar, di sini, pada Isnin.
Tambahnya, ketika serbuan, beberapa individu lain yang berada di atas bot dan dipercayai sedang berurusan membeli dadah turut ditahan.
"Sepanjang operasi itu, 45 individu berusia 19 hingga 50 tahun, termasuk dua wanita, diperiksa di sekitar daerah Kuala Muda.
"Hasil saringan air kencing mendapati 20 individu, termasuk seorang wanita, positif dadah. Wanita itu juga dikehendaki polis berkaitan kes dadah," katanya.

Polis turut merampas dadah jenis ganja seberat anggaran 20.1 gram (g), heroin seberat anggaran 11.4 g dan syabu 2.84 g dengan nilai anggaran keseluruhan mencecah RM1,273.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 serta Akta Racun 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!