'Orang membazir itu saudaranya syaitan'

BERBAKI beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan meninggalkan Ramadan.
Satu persoalan yang perlu direnungkan kembali, adakah kita lebih sihat ketika Ramadan ini, atau telah banyak mengambil makanan tidak sihat?
Terdapat dua trend iaitu satu golongan yang memilih makanan sihat seperti buah-buahan, kurma, air kosong dan makanan tinggi protein untuk memastikan tubuh kekal bertenaga sepanjang berpuasa.
Sementara satu lagi adalah golongan yang memilih makanan bergoreng, manis dan berlemak tinggi.
Bazar Ramadan sudah semestinya menjadi tarikan utama dengan pelbagai jenis juadah seperti ayam percik, martabak, roti john, air manis berwarna-warni dan kuih-muih yang tinggi gulanya.
Mungkin kerana mahu ‘membalas dendam’ selepas seharian berpuasa, ada yang makan secara berlebihan terutama dengan hidangan berkalori tinggi. Ini satu tabiat yang tidak baik untuk diamalkan.
Sebenarnya bulan puasa inilah masanya kita berdisiplin dalam pemakanan. Dengan berpuasa juga dapat membantu mengawal berat badan dan meningkatkan metabolisme jika diikuti dengan pemakanan seimbang, sekali gus mengurangkan risiko penyakit seperti diabetes dan masalah jantung dengan mengawal pengambilan gula dan lemak selain peningkatan detoksifikasi semula jadi badan melalui proses berpuasa.
Tapi jika kita tidak mengawal pemakanan, ia akan menyebabkan peningkatan berat badan disebabkan makan secara berlebihan semasa berbuka dan sahur.
Akibatnya, risiko penyakit seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi meningkat kesan mengambil makanan yang tinggi gula dan berlemak.
Mereka yang kurang minum air kosong pula akan mengalami dehidrasi dan lebih memilih minuman manis atau berkafein.
Ada beberapa faktor yang mempengaruhi pemilihan makanan pada bulan Ramadan, antaranya psikologi dan perubahan selera makan.Ramai memilih makanan berlemak dan bergula kerana ia memberikan kepuasan segera dan fenomena makan berlebihan akibat rasa lapar yang melampau.
Selain itu, pengaruh persekitaran seperti iklan makanan dan promosi bufet Ramadan mendorong tabiat makan secara berlebihan, selain lambakan bazar Ramadan yang menawarkan makanan tidak sihat dalam jumlah besar dengan harga yang menarik.
Masyarakat yang lebih sedar tentang kesihatan akan lebih cenderung memilih makanan sihat, tetapi kesedaran ini masih belum menyeluruh.
Kempen kesedaran yang dilaksanakan kerajaan seolah-olah dipandang sebelah mata.
Namun, secara keseluruhannya, kesan Ramadan terhadap kesihatan bergantung kepada pilihan makanan individu.
Walaupun ada yang mengambil kesempatan untuk mengamalkan pemakanan sihat, ramai juga yang terjebak dalam budaya makan berlebihan dan tidak sihat.
Oleh itu, pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan untuk memastikan Ramadan bukan sahaja memberi manfaat spiritual, tetapi juga meningkatkan kesihatan masyarakat.
Selain kesan kepada kesihatan, amalan membeli makanan secara berlebihan ketika di Ramadan juga menyumbang kepada pembaziran.
Menurut data yang dikeluarkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), sebanyak 90,000 tan makanan telah dibazirkan dan dibuang di seluruh sepanjang bulan Ramadan pada tahun lalu.
Kajian CAP menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding purata pada bulan-bulan lain.
Perlu diingatkan, pembaziran makanan bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam yang menekankan kesederhanaan, malah memberi kesan negatif kepada ekonomi dan alam sekitar.
Malah dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya” - (Surah al-Isra' ayat 27).
*Syajaratulhuda Mohamad Rosli ialah Wartawan Sinar Harian biro Utara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

