Pegawai Imigresen dituduh minta, terima suapan RM16,000

Azdee Muaz dibawa ke lokap mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM16,000, dua tahun lalu.
Azdee Muaz dibawa ke lokap mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM16,000, dua tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin atas pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM16,000 bagi membantu mempercepatkan permohonan program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK), dua tahun lalu.

Tertuduh, Azdee Muaz Md Adnan, 50, mohon untuk dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa meminta wang tunai RM10,800 daripada seorang kerani sebagai dorongan untuk mempercepatkan proses mendapatkan kuota dalam program RTK 2.0 bagi sebuah syarikat kejuruteraan melibatkan 54 orang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat berkenaan di Jalan Kamunting, Kamunting pada 25 Julai 2023.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada tiga anak itu didakwa menerima suapan wang tunai sebanyak RM5,200 daripada seorang wanita berusia 33 tahun bagi tujuan sama di sebuah restoran di Ipoh Garden, dalam daerah Kinta antara jam 1 hingga 2 petang pada 3 Ogos 2023.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pilihan pula, tertuduh yang juga pegawai gred KP22 didakwa telah menerima barangan berharga, iaitu wang tunai berjumlah RM5,200 bagi tujuan sama di lokasi dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Shahrul Azuan Ghazali, mencadangkan jaminan berjumlah RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat bahawa tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Perak setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang diwakili peguam Md Yusof Idris, memohon mahkamah memberikan jaminan rendah berikutan dia menanggung isteri, tiga orang anak serta kedua-dua ibu bapanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, selain tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Hakim memaklumkan bahawa jaminan itu akan terbatal sekiranya tertuduh didapati mengganggu saksi sepanjang prosiding kes hingga selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 29 April depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!