Pempengaruh hidup mewah mula 'panas punggung'

Sebenarnya, trend pengasas produk dan pempengaruh menunjukkan kemewahan ini bukan isu baharu, malah bukan berlaku di Kelantan sahaja. Gambar hiasan 123RF.
Sebenarnya, trend pengasas produk dan pempengaruh menunjukkan kemewahan ini bukan isu baharu, malah bukan berlaku di Kelantan sahaja. Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

APABILA Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mendedahkan beberapa pengasas produk dan pempengaruh di negeri itu disyaki terlibat pengedaran dadah dan pengubahan wang haram, ramai yang tak sabar untuk mengetahui perkembangan selanjutnya.

Ada yang tertanya-tanya, siapakah mereka? Tidak kurang membuat spekulasi sendiri mengaitkan nama-nama pengasas produk dan pempengaruh yang sering menayangkan kekayaan di media sosial.

Menurut Mohd Yusoff, kesemua mereka kini dalam pemantauan polis kerana wujud keraguan apabila memiliki rumah besar dan deretan kereta mewah, sedangkan produk dikeluarkan hanyalah biasa-biasa, malah tidak dikenali sangat pun.

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.

Sebenarnya, trend pengasas produk dan pempengaruh menunjukkan kemewahan ini bukan isu baharu, malah bukan berlaku di Kelantan sahaja.

Bangga menayang duit berkepuk-kepuk di media sosial sehingga menimbulkan tanda tanya orang ramai mengenai perniagaan yang mereka ceburi dan sebesar manakah syarikat mereka.

Apatah lagi melihat kehidupan mereka selama 24 jam dipenuhi aktiviti bersuka-ria, berseronok di sana-sini, berbeza sekali dengan golongan korporat yang bertungkus-lumus bekerja setiap hari mengusahakan syarikat.

Berdasarkan maklumat Mohd Yusoff, usahawan kosmetik dan pempengaruh yang disyaki terlibat dikesan mempunyai rangkaian lengkap dalam menjalankan kegiatan yang menyalahi undang-undang itu.

Artikel Berkaitan:

Mereka dipercayai bukan daripada kumpulan pengedar kecil, sebaliknya menjadi tauke besar di sebalik kegiatan itu.

Peranan usahawan kosmetik dan pempengaruh adalah sebagai penyuntik modal, manakala sebarang proses jual beli dadah biasanya akan menggunakan pihak lain supaya kegiatan itu tidak boleh dikaitkan dengan mereka.

Sekiranya benar apa yang didedahkan Ketua Polis Kelantan ini, kita berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas menangkap dan mendakwa individu yang terlibat tanpa mengira status mereka sama ada popular atau tidak.

Justeru, pihak polis perlu bersama-sama berganding bahu dengan pihak berkuasa lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia untuk membanteras kegiatan haram yang berselindung di sebalik penjualan produk menerusi media sosial ini.

Bagi pengasas produk dan pempengaruh terlibat, sudah pasti mereka kini tidak senang duduk.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!