Kekalkan keputusan batal e-Placement, kaji tangguh penempatan 2,245 pegawai perubatan

KKM digesa mengekalkan kembali keputusan pemilihan ePlacement pada 27 Februari yang dibatalkan serta penangguhan urusan penempatan lantikan tetap yang melibatkan 2,245 calon pegawai perubatan. Foto hiasan
KKM digesa mengekalkan kembali keputusan pemilihan ePlacement pada 27 Februari yang dibatalkan serta penangguhan urusan penempatan lantikan tetap yang melibatkan 2,245 calon pegawai perubatan. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa mengekalkan kembali keputusan pemilihan ePlacement pada 27 Februari itu yang dibatalkan serta penangguhan urusan penempatan lantikan tetap yang melibatkan 2,245 calon pegawai perubatan baru-baru ini.

Gabungan Pegawai Perubatan Malaysia dalam kenyataan berkata, pembatalan keputusan berkenaan bukan hanya menyebabkan nasib kesemua pegawai perubatan terbabit tidak menentu, bahkan mencetuskan kesukaran buat mereka telah banyak mengorbankan masa, wang dan tenaga untuk mengisi borang ePlacement sebelum ini.

Gabungan berkenaan menegaskan, situasi itu memaksa pegawai-pegawai perubatan berkenaan mengambil cuti rehat bagi menghadiri sesi pemilihan, selain keperluan mencari kawasan dengan capaian internet stabil dalam memastikan kelancaran proses pemilihan.

"Selain itu, mereka terpaksa memohon perubahan jadual bertugas ‘on-call’ daripada penyelia hospital tempat mereka berkhidmat bagi memastikan kehadiran ke proses pemilihan tidak mengganggu perkhidmatan kepada pesakit," kata gabungan itu pada Ahad.

Berikutan itu, Gabungan Pegawai Perubatan Malaysia mengemukakan enam tuntutan untuk dipenuhi KKM termasuklah tuntutan terpenting dengan meminta kementerian mengekalkan keputusan ePlacement pada 27 Februari 2025.

"Kedua, kami turut menuntut KKM menggantikan semula cuti yang telah digunakan pada 27 Februari 2025 (pemilihan ePlacement yang pertama dan dibatalkan) dan 17 Mac 2025 (pemilihan ePlacement yang kedua dan ditangguhkan pada saat-saat akhir).

"Pihak gabungan turut menuntut KKM memberikan penjelasan lebih lanjut berhubung sistem merit yang bakal dilaksanakan serta memastikan ketelusan dalam penyediaan data mengenai keperluan dan kekosongan penempatan Pegawai Perubatan di setiap fasiliti kementerian," kata mereka.

Gabungan Pegawai Perubatan Malaysia turut menuntut KKM bakal melaksanakan sistem baharu untuk kohort yang akan datang dan bukan kohort semasa.

"Kami tidak mahu dijadikan bahan ujian bagi sistem baharu yang dibangunkan secara tergesa-gesa. Sistem ini perlu diteliti dan dikaji dengan mendalam sebelum digunakan," tegas mereka.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, gabungan berkenaan turut mengemukakan tuntutan kelima dengan menggesa KKM supaya mengambil kira pandangan pegawai perubatan dalam sebarang perancangan sistem baharu bakal dibangunkan kelak.

"Bagi tuntutan terakhir, KKM juga perlu memberikan elaun perpindahan bagi pegawai perubatan yang berpindah ke Sabah dan Sarawak demi menjaga kebajikan mereka," kata mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!