Sabah, Sarawak jadi penentu siapa jadi Perdana Menteri

Mohd Shafie Apdal dan Abang Johari
Mohd Shafie Apdal dan Abang Johari
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 56 ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak bersedia berperanan sebagai 'kingmaker' dalam menyelesaikan kemelut politik susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Sehingga kini belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan dalam menyokong mana-mana calon Perdana Menteri.

Semalam, Barisan Nasional (BN) dan Pas bersetuju mencalonkan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Dalam dua kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, seramai 60 ahli Parlimen dari kedua-dua parti memberi sokongan sepenuhnya kepada Muhyiddin.

BN yang terdiri daripada UMNO mempunyai 39 ahli Parlimen, MCA (2), MIC (1), manakala Pas mempunyai 18 ahli Parlimen.

Sebelum itu, Bersatu telah memutuskan untuk mencalonkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri untuk diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Perkara tersebut diumumkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya dalam satu kenyataan parti yang menjelaskan, mesyuarat hari ini dihadiri 36 Ahli Dewan Rakyat Bersatu.

Manakala Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pula mahu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi peluang menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membuktikan keyakinan majoriti ahli-ahli Parlimen terhadap beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Majlis Presiden PH semalam, pakatan itu percaya bahawa Anwar telah mendapat jumlah pencalonan terbesar dari kalangan ahli-ahli Parlimen berdasarkan proses yang telah ditentukan Seri Paduka Baginda tempoh hari.

Sementara itu, memetik laporan Astro Awani, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan menyertai pakatan yang ada DAP.

Itu antara perkara utama yang akan dipertimbangkan oleh pimpinan tertinggi GPS dalam memilih Perdana Menteri baharu.

Antara lain ujarnya, tindakan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan bahawa Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun lalu nyata mendatangkan rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin di sana.

“Kenyataan tersebut dilihat sangat tidak bertanggungjawab dan ini menunjukkan keangkuhan mereka,” katanya.

Menerusi siaran langsung itu juga, James turut menyatakan apa yang paling penting dalam pertimbangan yang akan dilakukan adalah mengutamakan kehendak rakyat dan kebaikan kepada negara.

Selain itu James menambah, GPS mahu Perjanjian Malaysia (MA63) dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan serta membolehkan negeri itu mendapat perkongsian hasil dalam minyak dan gas yang besar.

“Kami akan mengumumkan pilihan kami sejurus selesai mesyuarat tertutup itu nanti,” ujarnya mengakhiri perbualan.

GPS dijangka mengadakan satu mesyuarat tertutup pada Ahad di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Menurut laporan Malaysiakini, sumber PH mendakwa, kumpulan ahli Parlimen daripada kedua-dua negeri itu bagaimanapun meletakkan syarat kerjasama dalam gabungan baharu politik itu.

"(Datuk Seri Mohd) Shafie Apdal tidak mahu Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) terlibat di Sabah yang merupakan tawaran yang lebih mudah untuk dicapai bersama Anwar.

"Apa yang lebih sukar untuk dirundingkan ialah Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu kerusi Timbalan Perdana Menteri dan lebih banyak hak di bawah perjanjian MA63.

"Mereka juga akan menggesa diwujudkan keadaan pembangkang sifar di Sarawak," kata sumber itu.

Kedudukan kerusi sekarang adalah Muhyiddin mendapat 97 kerusi manakala Anwar 93 kerusi.

Jika GPS yang mempunyai 18 kerusi dan Warisan (9) memilih salah satu nama pastinya calon tersebut akan mendapat sokongan majoriti sekaligus menjadi Perdana Menteri.

Sabah dan Sarawak adalah penentu dalam kemelut politik negara ini dan dilihat Muhyiddin adalah calon yang dijangka lebih berpotensi menjadi Perdana Menteri berbanding Anwar.

Namun, apa-apa sahaja boleh berlaku dalam sehari dua ini. Sama-sama kita nantikan kejutan seterusnya.