Hassan Karim gesa SPRM siasat kes Ismail Sabri secara profesional

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya lebih profesional dan beretika dalam menjalankan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan SPRM mendedahkan bukti kepada umum sebelum siasatan selesai menimbulkan persoalan mengenai ketelusan proses berkenaan.
"Kebiasaannya, bukti hanya dikemukakan di mahkamah, bukan dalam sidang media. Tetapi dalam kes ini, siasatan masih belum lengkap namun bahan bukti sudah dipamerkan kepada khalayak umum.
"Apakah tujuan tindakan ini?" katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pada 3 Mac lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram berikutan pihaknya menemukan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam sebuah 'safe house'.
SPRM juga menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes tersebut.
Difahamkan, kesemua hasil rampasan turut dikaitkan dengan perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta program publisiti sewaktu Ismail Sabri memegang jawatan Perdana Menteri ke-9.
Terbaharu, Azam mengesahkan penahanan reman tiga hari seorang pengurup wang berusia lingkungan 40-an pada Isnin untuk membantu siasatan kes terbabit.
Proses merekod keterangan Ahli Parlimen Bera tersebut akan disambung semula pada Isnin ini jam 10 pagi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Mengulas lanjut, Hassan yang pernah menganggotai Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) mendakwa, kertas siasatan belum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sehingga kini, namun Ismail Sabri telah menjadi perhatian dalam laporan media.
Meskipun menyokong penuh usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memerangi rasuah, beliau berpendapat, SPRM perlu kekal dengan bidang kuasanya tanpa melangkaui batas undang-undang.
"Saya yakin dengan kemampuan SPRM, bagaimanapun dalam kes ini jelas ada pelanggaran etika dan profesionalisme.
"SPRM sepatutnya sekadar menjalankan siasatan, manakala urusan pendakwaan perlu diserahkan kepada AGC.
"Apa yang penting kita mahu keadilan ditegakkan dengan cara yang betul, bukannya tergesa-gesa hingga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

