Sanggup berhabis duit, mahu tradisi kad raya pos terus hidup

Muhammad Azim menunjukkan kad hari raya yang diterimanya dari Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada tahun lalu.
Muhammad Azim menunjukkan kad hari raya yang diterimanya dari Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada tahun lalu.
A
A
A

JITRA – Dalam era teknologi serba moden, amalan menghantar kad ucapan hari raya melalui pos kian pudar kerana telah digantikan dengan mesej digital di WhatsApp dan media sosial lain.

Namun, bagi Muhammad Azim Azizan, 27, tradisi ini tetap dijunjung kerana baginya, nilai sentimental kad fizikal hari raya masih tiada ganti.

Menurutnya, setiap tahun menjelang Aidilfitri, dia tidak pernah gagal mengirim kad ucapan kepada rakan-rakan dan individu kenamaan sebagai tanda ingatan.

"Saya takkan berhenti mengirim kad ucapan hari raya setiap kali menjelang Aidilfitri. Walaupun zaman semakin canggih, saya percaya kad fizikal lebih bermakna kerana boleh disimpan sampai bila-bila," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Naga, Kepala Batas.

Muhammad Azim (kanan) mengikut jejak langkah bapanya mengumpul kad hari raya.
Muhammad Azim (kanan) mengikut jejak langkah bapanya mengumpul kad hari raya.

Mengikut jejak bapanya, Azizan Haroon, 61, yang memulakan hobi sama sejak tahun 1970-an, Muhammad Azim mula mengumpul kad ucapan sejak di bangku sekolah menengah.

Hingga kini, koleksinya mencecah lebih 4,000 keping kad, termasuk yang diterima daripada tokoh ternama seperti mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Sultan Brunei, Sultan Pahang, Sultan Johor termasuk pemimpin kerajaan.

Biarpun memiliki nilai sentimental yang tinggi, usaha mengekalkan tradisi menghantar kad raya bukanlah mudah.

Muhammad Azim mengakui, harga kad semakin meningkat, selain sukar didapati di pasaran.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Azim mahu memastikan tradisi menghantar kad hari raya dapat dikekalkan pada setiap tahun.
Muhammad Azim mahu memastikan tradisi menghantar kad hari raya dapat dikekalkan pada setiap tahun.

"Tahun ini saja saya habiskan hampir RM1,000 untuk membeli kad dan setem. Sebelum ini, saya hanya belanja sekitar RM500 hingga RM700, tetapi harga makin mahal dan kedai yang menjual kad raya pun semakin berkurangan," katanya.

Menurutnya, hasil wang simpanan yang dikumpul sejak sebelum Ramadan, dia memastikan tradisi ini dapat terus dihidupkan.

"Bagi saya, kad ucapan hari raya membawa perasaan yang lebih mendalam berbanding ucapan di media sosial lebih pantas, tetapi ia tidak bertahan lama.

"Jika telefon rosak atau aplikasi dipadam, semua kenangan itu hilang begitu sahaja. Tetapi kad fizikal boleh disimpan seumur hidup," ujarnya.

Muhammad Azim turut menyertai kumpulan pengumpul kad raya di WhatsApp dan Facebook untuk bertukar alamat serta berkongsi minat dengan mereka yang masih setia pada tradisi ini.

Muhammad Azim bersama sebahagian koleksi kad hari raya yang diterima dari beberapa Sultan dan juga touch pemimpin negara.
Muhammad Azim bersama sebahagian koleksi kad hari raya yang diterima dari beberapa Sultan dan juga touch pemimpin negara.

Baginya, menerima kad ucapan yang dihantar secara pos memberikan kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

"Saya paling teruja apabila kad yang saya kirim dibalas semula. Ia membuatkan saya rasa lebih dihargai dan hubungan silaturahim lebih erat," katanya lagi.

Meskipun dunia bergerak ke arah pendigitalan, bagi Muhammad Azim, tradisi menghantar kad raya tetap berharga dan tidak boleh diganti dengan teknologi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!