Ibu saudara kongsi realiti sebenar

SHAH ALAM - Menjadikan kanak-kanak atau bayi sebagai kandungan media sosial bukan sahaja terdedah kepada eksploitasi dan jenayah siber, tetapi juga boleh menjejaskan keselamatan serta privasi mereka dalam jangka masa panjang.
Ibu saudara kepada pempengaruh kanak-kanak, Puteri Seri Mawar Megat Abdul Rahmani, 27, mendedahkan ada cubaan daripada lelaki dewasa untuk mendekati anak saudaranya, Adyna Summayyah Mohd Bakri, 12, di media sosial.
“Tak dinafikan, ada budak-budak dan mengejutkan ada juga daripada lelaki dewasa...saya rasa berkemungkinan individu itu seorang pedofilia.
“Mungkin mereka ingat Summayyah yang pegang akaun, mereka tak tahu saya yang jaga akaun itu. Jadi saya terus sekat akaun itu. Kemudian saya lebih banyak tonjol diri di hadapan skrin.
“Bukan untuk kejar popular tetapi kita nak pastikan orang tahu Summayyah memang dijaga rapi oleh saya dan kedua ibu bapanya...kalau kita nak anak di hadapan skrin, ibu bapa kena bertanggungjawab jaga keselamatan mereka,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, masyarakat tidak sepatutnya menjadikan kanak-kanak sebagai bahan kandungan di laman media sosial masing-masing.
Jelasnya, perkara tersebut tidak digalakkan bukan sahaja kepada para guru tetapi juga ibu bapa dan seluruh masyarakat yang bertanggungjawab untuk tidak menyiarkan kanak-kanak sebagai bahan kandungan media sosial kerana membawa risiko kepada mereka.
Dalam pada itu, Puteri Seri Mawar menegaskan bahawa keselamatan anak saudaranya sentiasa menjadi keutamaan, sama ada secara fizikal mahupun digital.
Jelasnya, dia dan ibu bapa Summayyah mengawal penggunaan gajet serta mengehadkan masa melayari media sosial.
“Tidak semua saya paparkan di media sosial, saya memang betul-betul menjaga privasinya. Untuk makluman, Summayyah di TikTok bukan disebabkan untuk membuat content semata-mata, tetapi itu adalah salah satu cara saya mengajarnya lebih yakin bercakap di khalayak ramai.
“Saya sangat tegas, jika contohnya ada ‘paid review’ daripada mana-mana pihak, saya akan pastikan mereka tidak mengambil kesempatan terhadapnya.
“Saya percaya, sebenarnya media sosial ini perlu didedahkan sikit demi sikit kepada mereka supaya nanti bila besar, mereka tidak terkejut...yang penting ibu bapa perlu bertanggungjawab mengajar mereka cara yang positif dan bukannya tergedik-gedik macam sesetengah content,” ujar beliau.
Katanya, dia juga menjaga kesihatan mental anak saudaranya dengan membuang dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap komen negatif yang dilemparkan.
Jelasnya, dia turut mengajar Summayyah belajar mengawal perasaan dan bercakap perkara yang positif setiap kali melakukan siaran langsung di TikTok.
“Bila live saya tak pernah biar dia seorang, sama ada saya, ibu atau ayahnya akan pantau. Saya selalu pesan niatnya kena betul...bila dia buat video yang baik dia akan sentiasa sebarkan kebaikan seterusnya akan dapat pahala,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
