Wanita dakwa ditampar lelaki memandu secara melulu

LABUAN - Dua kertas siasatan dibuka berhubung kejadian seorang wanita didakwa ditampar dalam kejadian di tepi Jalan Tun Mustapha, di sini pada Jumaat.
Kejadian yang turut tular di media sosial itu melibatkan seorang lelaki yang juga pemandu dipercayai memandu secara melulu sehingga menyebabkan berlaku pertengkaran dengan wanita berusia 28 tahun tersebut.
Ketua Polis Daerah Labuan Superintenden Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu pada Sabtu.
"Kejadian berpunca daripada suspek yang memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain. Melalui kenyataan pemandu wanita tersebut, dia terpaksa menekan brek secara mengejut.
"Selepas kejadian itu, berlaku insiden pertengkaran antara mereka sehingga suspek bertindak menampar pipi kiri pemandu wanita itu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Susulan kejadian itu, Mohd Hamizi berkata, kedua-dua pihak telah pergi ke Balai Polis Labuan dan kes dirujuk ke bahagian siasatan namun tindakan penyelesaian tidak memuaskan hati pihak mangsa.
"Selain itu, pengadu turut mendakwa pihaknya belum menerima maklum balas daripada pihak polis mengenai kejadian tersebut dan tidak tahu apa tindakan selanjutnya yang diambil bagi membela nasib dirinya.
"Hari ini, kedua-dua pihak kemudian telah tampil membuat laporan polis dan dua kertas siasatan telah dibuka iaitu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Satu lagi kertas siasatan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan kerana memandu secara melulu dan membahayakan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda hingga RM15,000 jika didapati bersalah.
"Pihak polis juga menjalankan siasatan selari di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berkaitan kegagalan mengambil laporan pihak mangsa," tegasnya.
Katanya lagi, saksi kejadian turut diminta tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan dan berhubung dengan pegawai penyiasat kes Asisten Superintenden Ruslan Tarai di talian 019-3000011 atau 087-412222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
