Muktamadkan keputusan tuntutan 40 peratus Sabah 30 Jun ini - Jeffrey

KOTA KINABALU - Kerajaan Persekutuan diminta membuat keputusan berhubung tuntutan 40 peratus hasil daripada Sabah dalam mesyuarat khas pada 30 Jun ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, data berkaitan telah diminta berulang kali, namun sehingga kini masih belum diperoleh menyebabkan Sabah enggan terus menunggu.
"Sekarang kita minta kerajaan Pusat supaya memuktamadkan, buat keputusan kerana kita telah minta angka atau data daripada mereka tetapi tidak diberikan walaupun sudah 13 kali diminta.
"Kita tidak mahu menunggu lagi, kita harus proaktif. Jadi, kita telah mengambil inisiatif untuk mengumpul data-data ini dan daripada data itulah kita telah hantar kepada kerajaan Pusat melibatkan angka bernilai berbilion ringgit.
"Dalam mesyuarat terakhir Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPMA63) yang berlangsung minggu lalu, kita telah mencadangkan supaya diadakan satu mesyuarat khas bagi memuktamadkan isu 40 peratus ini pada 30 Jun di Sabah dan mesyuarat itu telah pun dipersetujui," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan Pejabat Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Luyang, di Luyang, di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Presiden STAR berharap mesyuarat itu nanti akan membawa maklum balas daripada kerajaan Pusat terhadap data yang telah dikemukakan.
"Kita bincang sekiranya tidak ada persetujuan, kita boleh melantik penaksir bebas untuk membuat keputusan.
"Jadi, kita tidak mahu hanya menerima bayaran interim sahaja, walaupun nilainya sudah meningkat kepada RM600 juta tetapi ia hanya bayaran interim sementara menunggu keputusan untuk penyelesaian 40 peratus itu.
"Jadi saya yakin kita akan mendapat sesuatu kerana inilah yang rakyat tunggu-tunggu, sebab inilah nadi pembangunan kita. Kalau kita dapat, kita boleh membangunkan negeri kita dengan lebih cepat serta menyelesaikan masalah kita dengan lebih efisien dan efektif," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!