'Bukan seorang, tetapi dua anak saya dipanggil 'pulang'

KLUANG – [DIKEMAS KINI] “Setiap hari mereka keluar rumah tepat jam 6.50 pagi, tetapi hari ini mereka keluar lewat.
“Saya sendiri tidak tahu mengapa, mungkin ada sesuatu yang membuatkan mereka berat hati meninggalkan rumah,” kata Salina Abdullah, 47, ibu kepada dua beradik yang maut dalam kemalangan tragis pagi Jumaat.
Dua anaknya, Norhazim Kamaruzaman, 17, dan Nur Alif Ikhwan Kamaruzaman, 16, yang dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pinang, Bandar Tenggara, maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabas akibat terlanggar lubang di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara.
Menurut Salina, anak ketiga dan keempat daripada lapan beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.
“Tidak sangka pagi tadi merupakan sahur terakhir kami bersama. Bukan seorang tetapi dua orang sekali anak saya dipanggil 'pulang'. Saya reda dengan ujian ini.
"Sepatutnya, saya buat kek untuk menyambut ulang tahun kelahiran Norhazim (15 Mac) bersama abangnya, Nor Aiman, yang menyambut hari lahir hari ini (21 Mac).
“Kami tak sangka sambutan hari lahir untuk arwah menjadi hari paling menyedihkan buat kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, pada Jumaat.
Kedua-dua jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Inas sebelum solat Isyak.
Sementara itu, abang sulung mangsa, Mohamad Nor Lokman Hakim, 27, reda dengan pemergian kedua-dua adiknya di bulan mulia.
"Walaupun sedih dengan kejadian ini, namun kami sekeluarga tetap reda menerima ketentuan ALLAH menjemput mereka berdua pada hari dan bulan mulia ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!