Dua beradik maut motosikal terlanggar lubang di jalan raya

Gara-gara terlanggar lubang di jalan raya, dua beradik lelaki maut apabila motosikal yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara, pagi tadi.
Gara-gara terlanggar lubang di jalan raya, dua beradik lelaki maut apabila motosikal yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara, pagi tadi.
A
A
A

KLUANG - [DIKEMAS KINI] Dua beradik lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangi mereka terbabas gara-gara terlanggar lubang di Jalan Sengkang-Felda Inas-Bandar Tenggara, pagi tadi.

Kedua-dua mangsa, Norhazim Kamaruzaman, 17 dan pembonceng, Nur Alif Ikhwan Kamaruzaman, 16, mengalami kecederaan parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan mengenainya pada jam 8.46 pagi.

“Siasatan mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y110 yang dinaiki oleh sepasang adik beradik yang juga pelajar dan berasal dari Felda Inas, Kulaijaya.

“Hasil siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah Felda Inas menuju ke Bandar Tenggara.

"Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal tersebut dipercayai melanggar lubang di jalan dan menyebabkan mereka terbabas serta terjatuh," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika menunggang motosikal, terutama di kawasan yang berisiko, selain mengingatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka memiliki lesen sebelum menunggang kenderaan di jalan raya.

Dalam pada itu, pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!