Aiman 'pergi' di hari lahir, tak sempat pakai baju raya

KOTA TINGGI – "Memang tak sangka dia pergi buat selama-lamanya, baru tengah hari tadi (Khamis), ucap selamat hari lahir, malamnya dia dah tak ada"
Demikian reaksi Zulkeply Ayob, 40, bapa tiri kepada Muhammad Aiman Amirul Rashid, 19 yang maut dalam kemalangan di Kilometer 19.3 Jalan Sungai Rengit – Kota Tinggi, pada Khamis.
Katanya, dia memang tidak menyangka itu perbualan terakhirnya bersama anak tirinya itu sebelum maut dalam kemalangan tersebut.
"Saya terkejut bila dapat panggilan daripada isteri kira-kira pukul 9 malam yang mengatakan Aiman kemalangan.
"Saya terus menuju ke tempat kejadian dan setibanya ke sana saya dapati dia memang sudah tidak bernyawa lagi.
"Sampai sekarang saya masih teringat-ingat mesej terakhir saya kepadanya, ‘Selamat hari lahir’, dan dia cuma balas ‘Ok pa’,” katanya sebak.
Dalam kejadian sekitar jam 8.40 malam itu mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi.
Mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan kemudiannya melanggar penghadang jalan.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian.
Tambah Zulkeply, dia juga sebak dan pilu apabila melihat baju melayu berwarna merah maroon yang tidak sempat di pakai pada Hari Raya Aidilfitri kelak.
Katanya, warna berkenaan merupakan warna tema mereka sekeluarga kali ini.
"Dia ada ajak saya untuk pergi baju tu, tapi saya tak dapat ikut dan dia pergi beli sendiri dengan kawan-kawannya," katanya.
Sementara itu Zulkeply berkata, arwah anak tirinya sebagai seorang anak yang baik, periang dan rapat dengan dua adik tirinya.
Katanya, Aiman juga berjanji mahu membetulkan basikal adiknya selepas raya.
"Bagi saya, dia anak yang baik dan semua itu hanya tinggal kenangan," katanya.
Difahamkan, jenazah Muhammad Aiman Amirul, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 5, pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
