Anwar, kerajaan mohon nama dibatal daripada semakan kehakiman kes Mukhriz

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan memohon Mahkamah Tinggi di sini pada 7 Mac lalu untuk membatalkan nama mereka sebagai responden dalam kes semakan kehakiman Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Kes itu membabitkan semakan kehakiman dipohon Mukhriz, 61, bagi membatalkan tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan lebih RM5 juta bagi tahun 2017 hingga 2019.
Menerusi notis permohonan itu, Anwar dan kerajaaan memohon nama mereka dalam semakan kehakiman bertarikh 20 Disember 2024 beserta pernyataan di bawah Aturan 53(2) Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 dan afidavit sokongan Mukhriz dikeluarkan.
Mereka yang dinamakan sebagai responden kedua dan ketiga memberitahu, alasan prosiding semakan kehakiman berkenaan berbangkit daripada keputusan LHDN yang dikeluarkan melalui surat bertarikh 27 September tahun lalu kepada Mukhriz.
Berdasarkan afidavit sokongan yang diperoleh media pada Jumaat, Peguam Kanan Persekutuan, Nur Irmawatie Daud berkata, tiada keperluan untuk mengekalkan Anwar dan kerajaan selaku responden.
Selain itu beliau berkata, tindakan ini jelas sesuatu yang mengaibkan, remeh dan menyusahkan.
“Ini juga merupakan suatu penyalahgunaan proses mahkamah yang tidak boleh dikekalkan dan wajar dibatalkan oleh mahkamah," katanya dalam afidavit berkenaan.
Dalam pada itu, Nur Irmawatie ketika dihubungi media mengesahkan, permohonan berkenaan dan memaklumkan 16 Mei depan untuk pengurusan kes.
Pada 20 Disember 2024, Mukhriz memohon kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini untuk membatalkan keputusan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mengeluarkan notis taksiran cukai tambahan lebih RM5 juta, bagi tahun 2017 hingga 2019 lalu.
Notis bagi tahun taksiran 2017 ialah bernilai RM2,558,875.90; 2018 (RM2,445,004.91) sementara 2019 (RM16,826.37) iaitu berjumlah RM5,020,707.18.
Bekas calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Jerlun menamakan Ketua Pegawai Eksekutif/ Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri; Anwar selaku Menteri Kewangan Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.
Menerusi dokumen, anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memohon perintah Certiorari dan deklarasi, bahawa tindakan LHDN berhubung notis itu menyalahi undang-undang, melanggar keadilan dan tidak munasabah.
Beliau turut memohon perintah sama untuk membatalkan keputusan responden pertama untuk mengeluarkan sijil di bawah Subseksyen 104(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Ia termasuk deklarasi bahawa responden kedua, telah menggunakan kuasa secara salah hingga menyebabkan responden pertama mengeluarkan notis tersebut, seterusnya mengenakan penalti di bawah Seksyen 113 (2) akta sama terhadap pemohon.
Pada 2 Januari lalu, Hakim, Datuk Amarjeet Singh memberi kebenaran kepada Mukhriz untuk memulakan prosiding semakan kehakiman selepas mendapati terdapat isu yang boleh dibicarakan dalam kes tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

