‘Singgah Soq Jenan’ pupuk empati pelajar lihat kesusahan orang lain

ALOR SETAR – Mendekati petugas hospital yang bersengkang mata merawat pesakit serta melihat sendiri kepayahan pesakit berdepan musibah menjadi pengalaman berharga buat sekumpulan pelajar.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Pelajar Asrama Penuh Tingkatan Empat, Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Hairy Abdul Ghani berkata, seramai 20 pelajar lelaki dan perempuan yang menyertai program Singgah Soq Jenan menzahirkan rasa empati apabila melihat kesusahan orang lain.
Menurutnya, program yang julung kali diadakan ini bukan sahaja memupuk sifat empati dalam kalangan pelajar, malah dapat menerapkan nilai-nilai murni serta memperkenalkan mereka kepada dunia luar yang lebih mencabar.

“Program ini dicetuskan bagi menghargai pengorbanan petugas hospital selain mengambil keberkatan bulan Ramadan yang mulia.
“Ia membabitkan aktiviti beramah mesra sambil menyumbang makanan sahur kepada 350 petugas Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) serta pesakit di Wad Kecemasan,” katanya kepada Sinar Harian.
Hairy berkata, program ini dibiayai oleh sebuah syarikat korporat serta sumbangan ibu bapa pelajar bagi menyediakan nasi tomato dan air mineral sebagai juadah sahur.
“Pelajar dan ibu bapa sendiri mengagihkan juadah sahur kepada petugas dan pesakit sambil menyelami kesusahan mereka. Selain mengeratkan silaturahim, program ini juga mendedahkan pelajar kepada dunia luar yang penuh cabaran.

“Melihat kesusahan orang lain mewujudkan empati dalam diri anak-anak. Selain mengimarahkan bulan Ramadan dengan aktiviti kebajikan, ia juga memupuk amalan bersedekah biarpun dalam bentuk sumbangan kecil,” katanya.
Seorang peserta, Khairunisa Khairol Nizam yang pertama kali menyertai program seumpama itu menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sangat bermakna selain menimbulkan keinsafan terhadap golongan kurang bernasib baik.
“Selepas melawat Zon Merah dan melihat pesakit serta ahli keluarga mereka yang terpaksa berbuka dan bersahur di hospital, timbul keinsafan dalam diri saya bahawa tidak semua orang sentiasa berada dalam keadaan baik. Ada masanya mereka diuji oleh Allah SWT dengan musibah,” katanya.
Rakannya, Nurin Husna Mohamed Roslan turut berkongsi kesedihan melihat beberapa pesakit menahan kesakitan ketika menerima rawatan di Zon Merah.
“Program sebegini bermanfaat untuk mematangkan diri kami dalam menghadapi sebarang kemungkinan. Ketika menyantuni pesakit dan ahli keluarga mereka, ada beberapa kes menyayat hati apabila pesakit berkongsi kepayahan yang mereka alami,” ujarnya.
Sementara itu, Nur Anis Qhaisara Mohd Fauzi bersyukur kerana dapat meneruskan pembelajaran dalam keadaan selesa berbanding segelintir individu yang berdepan pelbagai dugaan menjelang Aidilfitri.
“Timbul rasa kasihan melihat keadaan pesakit. Saya bersyukur masih sihat dan dapat belajar dengan selesa, sedangkan pada masa sama ada sebahagian yang terpaksa berdepan dugaan berpuasa dan bersahur di hospital,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!