Kedah bakal jadi hub tenaga solar serantau

ALOR SETAR - Kedah berpotensi muncul sebagai hub tenaga solar di rantau Asia Tenggara berikutan negeri ini menerima sumber tenaga suria paling optimum yang diperlukan untuk penjanaan kuasa tenaga boleh diperbaharui (TBB).
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pertumbuhan berterusan pelaburan dalam ladang solar berskala besar (LSS) sejak beberapa tahun kebelakangan ini membolehkan Kedah bersedia menjadi pemain utama industri penjanaan TBB.
Menurutnya, antara lokasi yang telah dibangunkan LSS ialah di Kuala Muda, Kuala Ketil, Bukit Selambau, Pendang dan Bukit Kayu Hitam.

"Kedah antara penerima cahaya matahari terbanyak sepanjang tahun menyebabkan banyak syarikat mencari tapak untuk bangunkan ladang solar di sini.
“Kedah juga diberkati dengan pelbagai sumber TBB yang boleh diterokai. Sekiranya semua sumber tersebut digembelingkan kita mampu menarik lebih ramai pelaburan yang memerlukan bekalan elektrik hijau,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.
Terdahulu, Muhammad Sanusi menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pajakan tanah antara Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan SRM Utama Selambau Sdn Bhd bagi pembangunan loji tenaga solar berskala besar yang akan dibangunkan di bandar Amanjaya, Kuala Muda.
Pembangunan projek tersebut melibatkan pelaburan sebanyak RM135 juta dan Loji Tenaga Solar ini mampu menjana 30 megawatt (MW) tenaga elektrik yang akan dibekalkan terus kepada pembeli tenaga tempatan.
Ia membabitkan keluasan 120 ekar tanah milik PKNK yang akan dibangunkan bermula suku tahun kedua tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya menjelang suku tahun keempat tahun sama.
“Projek ini menyumbang pendapatan kepada PKNK sebanyak RM14 juta untuk tempoh 23 tahun. PKNK memainkan peranan sangat signifikan dalam industri berasaskan TBB, sehingga suku tahun pertama tahun ini, PKNK telah menjalin kerjasama dengan tiga buah syarikat bagi pembangunan Loji Tenaga Solar Berskala Besar dengan jumlah keseluruhan tenaga elektrik yang boleh dijanakan mencecah 100 MW,” jelasnya.
Muhammad Sanusi berkata, PKNK merupakan pemilik tanah terbesar di negeri ini dengan sebahagian besar meliputi tanah ladang.
"Keputusan untuk menukar ladang kelapa sawit kepada ladang solar akan dibuat selepas penilaian menyeluruh dilakukan, berdasarkan mana lebih menguntungkan.
"Jika penilaian menunjukkan lebih untung untuk bangunkan ladang solar, kita akan menukar ladang kelapa sawit kepada ladang solar tetapi jika sebaliknya, kita kekalkan ladang kelapa sawit," katanya.
Menurutnya lagi, pembangunan ladang solar di negeri ini penting bagi menyokong permintaan TBB yang semakin meningkat kalangan pemain industri.
"Penjanaan bekalan elektrik dari sumber TBB bukan sahaja penting dalam menangani perubahan iklim, ia juga penting dalam mematuhi syarat ditetapkan oleh kebanyakan pasaran eksport.
“Banyak negara khususnya Kesatuan Eropah mensyaratkan produk yang dihasilkan untuk pasaran mereka perlu ada penggunaan 30 peratus TBB menjelang 2026, yang menjadi syarat wajib dalam sektor industri jadi kita perlu selari dengan ketetapan itu,” katanya.
Menurutnya, keperluan grid tenaga TBB ini akan berkembang pada masa akan datang mencakupi seluruh negara Asia Tenggara iaitu Thailand, Laos, Myanmar, Vietnam dan Kemboja.
“Kita perlu manfaatkan kelebihan yang ada untuk teroka industri ini. Saya juga melihat impak perkembangan yang positif buat Kedah kerana peningkatan dalam pelaburan serta permintaan bekalan elektrik mesra alam atau elektrik hijau ini akan membuka peluang ekonomi dan perniagaan baharu kepada pemain industri TBB tempatan,” jelasnya.
Muhammad Sanusi berkata, penekanan terhadap pembangunan tenaga lestari ini juga merupakan antara aspirasi negara untuk mencapai sasaran pelepasan gas rumah kaca bersih (GHG) sifar pada tahun 2050.
“Kerjasama antara PKNK dan SRM Utama Selambau ini antara kesungguhan kita dalam membantu merealisasikan matlamat perubahan iklim meskipun Malaysia hanya menyumbang kurang dari 0.7 peratus daripada GHG dunia,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

