Ibu tunggal buat dua kerja demi persiapan raya

Sekumpulan ibu tunggal melakukan dua kerja bagi menampung perbelanjaan harian dan persiapan menyambut Aidilfitri.
Sekumpulan ibu tunggal melakukan dua kerja bagi menampung perbelanjaan harian dan persiapan menyambut Aidilfitri.
A
A
A

KUANTAN – Demi memastikan anak-anak dapat menyambut Aidilfitri dengan meriah, beberapa ibu tunggal di Kampung Cenderawasih sanggup melakukan dua pekerjaan serentak bagi menambah pendapatan.

Selain menerima tempahan kuih tradisional seperti tart, rempeyek, kuih kelapa dan kapit, mereka turut menjalankan perniagaan kecil-kecilan lain untuk menampung kos perbelanjaan harian serta persiapan raya.

Gambar dari kiri: Naslina, Maizatul Akmar Rizah, Afzan, Norlela
Gambar dari kiri: Naslina, Maizatul Akmar Rizah, Afzan, Norlela

Afzan Abdul Malik, 51, mengakui Ramadan dan Syawal adalah tempoh yang mencabar, namun ia bukan alasan untuknya mengeluh.

"Siang saya sibuk siapkan tempahan kuih, malam pula saya berniaga makanan seperti pai tee yang biasa ada di restoran.

"Letih memang letih, tapi saya kena kuat demi anak-anak. Kalau saya tak usaha lebih, siapa lagi?" katanya ketika ditemui di sebuah bengkel pembuatan kuih di Kampung Cenderawasih, di sini.

Ibu kepada enam anak itu berkata, tiga daripada anaknya masih bersekolah, manakala seorang lagi sedang melanjutkan pengajian ke peringkat diploma.

Ujarnya, wang tambahan diperlukan bagi memenuhi keperluan mereka.

"Bila ada duit tambahan, dapatlah saya bantu anak-anak untuk perbelanjaan sekolah dan persiapan raya. Saya tak mahu mereka rasa terlalu kekurangan," tambahnya.

Bagi Norlela Ismail, 45, peluang menyertai kumpulan ibu tunggal yang menjana pendapatan melalui pembuatan kuih memberi manfaat besar kepadanya.

"Saya buat Vietnam roll dan popia simpul di rumah, tapi bila bergabung dengan ibu tunggal lain, banyak ilmu dan peluang saya dapat untuk pasarkan produk.

"Malah, anak-anak pun tolong dari segi promosi dan beli barang," katanya.

Sementara itu, Naslina Hubitar, 46, bukan sahaja menerima tempahan kuih tetapi turut mengusahakan perniagaan jamu dan spa bergerak.

"Selain buat kuih, saya ada produk jamu sendiri dan juga perkhidmatan spa selepas bersalin. Memang sibuk, tapi ini semua untuk anak-anak," kongsinya.

Dia turut mengakui cabaran sebagai ibu tunggal bukan sekadar mencari rezeki, tetapi juga membahagikan masa antara kerja dan keluarga.

"Saya kena bijak atur jadual supaya semua urusan berjalan lancar, raya nanti mungkin sederhana, tapi saya bersyukur kerana semuanya hasil titik peluh sendiri," katanya.

Sementara itu, Maizatul Akmar Rizah Mazlan, 53, yang mengetuai kumpulan itu menjelaskan, permintaan terhadap kuih yang dihasilkan mereka tidak hanya tertumpu pada musim perayaan.

"Apa yang kami buat bukan sekadar kuih raya, tetapi juga kudapan sihat yang sentiasa mendapat permintaan.

"Contohnya, kuih tanpa tepung gandum, tanpa gula putih, dan bebas perisa serta pewarna tiruan," ujarnya.

Maizatul Akmar Rizah turut mengakui memahami cabaran yang dihadapi ibu tunggal dan berusaha memastikan mereka mempunyai peluang untuk menambah pendapatan.

"Jadi, saya letakkan diri sendiri dalam situasi mereka dan memberi peluang menjana pendapatan.

"Saya seronok apabila dapat bersama mereka yang ingin berusaha memperbaiki kehidupan," ujarnya.

Dia turut menasihatkan ibu tunggal agar terus bersemangat dan tidak mudah menyerah dengan keadaan.

"Keadaan kita ini bukan untuk ditangisi atau diratapi, tetapi untuk kita bangkit dan lakukan perubahan.

"Tidak semua ibu tunggal gagal, setiap daripada kita mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!