Lorong tambahan Jalan Persekutuan FT51 Seremban - Kuala Pilah atasi kesesakan

SEREMBAN - Projek pembukaan lorong tambahan Jalan Persekutuan FT51 Seremban – Kuala Pilah sepanjang satu kilometer, di sini, dijangka dapat menyelesaikan masalah kesesakan yang dihadapi oleh lebih 30,000 pengguna, terutama mereka yang berulang-alik dari Seremban ke Kuala Pilah setiap hari.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek pembinaan yang bermula pada 20 Disember 2021 dengan peruntukan RM18.167 juta itu turut merangkumi kerja-kerja naik taraf lain.
"Antara skop projek termasuk menaik taraf jalan tunggal dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong, pembinaan pembahagi jalan jenis New Jersey Barrier setinggi 1.2 meter serta menaik taraf Persimpangan Taman Nusa Intan dan Persimpangan Bukit Putus Lama.
"Selain itu, kerja perparitan dan pembetungan, penjajaran semula sungai, pemasangan perabot jalan serta kerja-kerja elektrik seperti lampu jalan dan lampu isyarat turut dilaksanakan," katanya ketika berucap merasmikan pembukaan lorong tambahan di Seksyen 8.50, Jalan Persekutuan FT51 Seremban – Kuala Pilah pada Jumaat.
Menurutnya, beliau percaya jalan baharu itu dapat mengurangkan kesesakan teruk semasa waktu puncak di kawasan 'bottle neck' berhampiran Persimpangan Taman Nusa Intan.
Pada masa sama, katanya, ia dapat meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya memandangkan laluan itu sebelum ini merupakan kawasan hitam dengan kadar kemalangan yang tinggi.
"Projek ini juga dapat mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku ketika hujan lebat menerusi pembinaan sistem perparitan dan pembetungan yang lebih berkesan," katanya.
Alexander berkata, Jalan Persekutuan FT51 Seremban – Kuala Pilah merupakan laluan utama yang sibuk serta menghubungkan bahagian barat dan timur Negeri Sembilan.
Tambahnya, laluan itu juga sering digunakan oleh pengguna jalan raya yang ingin ke Pantai Timur, menyebabkan ia kerap mengalami masalah kesesakan, terutamanya di kawasan bottleneck.
Dalam pada itu, beliau menyarankan orang ramai menggunakan aplikasi MyJalan untuk membuat aduan mengenai jalan raya rosak, lampu jalan dan lampu isyarat yang tidak berfungsi.
Sementara itu, dalam sesi tinjauan kerja di Negeri Sembilan, beliau turut meninjau pembinaan Projek Malaysia Vision Valley (MVV) di Bandar Enstek, iaitu projek pembinaan jalan baharu dari Nilai – Labu – Bandar Enstek.
"Jalan ini merupakan jalan empat lorong dua hala sepanjang 16.3 kilometer dan dijadualkan siap pada Julai 2026.
"Saya juga telah ke Seksyen 5.0 Jalan FT97 Paroi – Senawang untuk melihat sendiri kerja-kerja pembaikan cerun yang terjejas akibat kejadian runtuhan susulan hujan lebat. Projek ini dijadualkan siap pada Jun 2025," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

