Sampai bila negara Arab nak jadi pak turut Amerika? - Mat Sabu

SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu menyelar tindakan negara-negara Arab yang bersikap berdiam diri dan membiarkan Israel terus menindas rakyat Palestin.
Menurutnya, kecaman bukan sahaja perlu dilakukan terhadap rejim Zionis tetapi juga negara berkenaan sebagai tanda kekecewaan dan marah dengan sikap berdiam diri mereka.
"Masalahnya, bukan Zionis Israel yang perlu kita ingatkan tentang kezaliman mereka. Kejahatan mereka sudah termaktub dalam Al-Quran sejak dulu. Yang pelik, negara-negara Arab yang kononnya saudara se-Islam terus duduk diam membatu.
"Mereka lebih sibuk menjaga hati Amerika dan kuncu-kuncunya daripada menjaga nyawa rakyat Palestin. Ada duit minyak berbillion-billion, tapi nak mengeluarkan sepatah dua kata pun susah. Sampai bila negara Arab nak jadi pak turut kepada Amerika? Sampai bila mereka nak takut pada bayang-bayang sendiri?" soalnya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Mohamad Sabu yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, keberanian Afrika Selatan dalam memperjuangkan nasib Palestin wajar dicontohi berbanding sikap negara-negara Arab yang terus membisu.
“Kita perlu lihat cara Afrika Selatan iaitu negara bukan Islam tetapi lebih berani daripada semua negara Arab yang kaya-raya. Mereka mengusir duta Israel dan membawa kes ke Mahkamah Antarabangsa tanpa gentar dengan tekanan sekutu rejim Zionis itu.
“Kita terus berharap kepada Hamas, Hizbullah dan Jihad Islami untuk melawan Israel sedangkan negara-negara Arab yang kononnya kuat hanya duduk diam sambil menghisap shisha,” ujarnya.
Mohamad Sabu turut menyeru rakyat untuk bersama-sama menunjukkan solidariti terhadap Palestin sekali gus memberi mesej jelas kepada dunia bahawa isu kemanusiaan itu tidak boleh terus dipandang sepi.
“Cukuplah jadi penonton. Pada 28 Mac ini, kita berkumpul di Masjid Tabung Haji selepas solat Jumaat sebelum berarak ke Kedutaan AS sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia terhadap Palestin.
“Kita bukan sekadar mengecam rejim Zionis malah mahu menyatakan kekecewaan dan kemarahan terhadap negara-negara Arab yang membiarkan saudara seIslam terus ditindas. Sampai bila mereka mahu takut pada bayang-bayang sendiri?” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
