MAIWP mahu bina generasi ulama, pakar STEM

Sebahagian daripada pelajar Kompleks Darul Kifayah dan jemputan khas menghadiri Program Iftar Ala Madinah anjuran MAIWP dengan kerjasama Sinar Harian di Batu Muda di sini pada Khamis.- FOTO: ROSLI TALIB
Sebahagian daripada pelajar Kompleks Darul Kifayah dan jemputan khas menghadiri Program Iftar Ala Madinah anjuran MAIWP dengan kerjasama Sinar Harian di Batu Muda di sini pada Khamis.- FOTO: ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus berusaha membina semula kegemilangan tamadun Islam dengan melahirkan generasi yang bukan sahaja mahir dalam ilmu Islam dan tradisional, tetapi juga dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Pengerusinya, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, institusi itu bukan sekadar mendidik anak-anak asnaf dalam ilmu agama, tetapi turut membekalkan mereka dengan kemahiran moden supaya mampu menjadi pakar dalam pelbagai bidang.

"Dalam usaha melahirkan generasi Islam berilmu dan berkemahiran, MAIWP turut memperkenalkan pendidikan moden dengan menggabungkan kitab turath serta teknologi terkini seperti latihan kendalian dron kepada pelajar.

"Kami mahu melahirkan generasi hebat, bukan sahaja sebagai ulama, tetapi juga sebagai pakar teknologi yang mampu menjadi pemimpin ummah serta membawa perubahan besar kepada dunia," katanya.

SYED KAMARULZAMAN
SYED KAMARULZAMAN



Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Jaulah Iftar MAIWP di Kompleks Darul Kifayah, Batu Muda di sini pada Khamis.

Menurut Syed Kamarulzaman, Kompleks Darul Kifayah telah melahirkan lebih 2,000 pelajar sejak ditubuhkan lebih 40 tahun lalu.

"Kami mahu mereka melihat bahawa kejayaan bukan sesuatu yang mustahil kerana dengan ilmu dan bimbingan betul, mereka boleh mencapai impian serta membina masa depan lebih gemilang.

"Sebagai inspirasi kepada pelajar, pihak MAIWP turut menampal gambar alumni cemerlang di kompleks ini sebagai bukti bahawa anak-anak asnaf juga mampu berjaya dan mencipta sejarah," katanya.

Syed Kamarulzaman (tiga dari kanan) beramah mesra dengan pelajar Kompleks Darul Kifayah pada Program Iftar Ala Madinah di Batu Muda di sini pada Khamis.
Syed Kamarulzaman (tiga dari kanan) beramah mesra dengan pelajar Kompleks Darul Kifayah pada Program Iftar Ala Madinah di Batu Muda di sini pada Khamis.



Syed Kamarulzaman turut memaklumkan MAIWP memperuntukkan sebanyak RM5 juta setahun bagi membiayai operasi Kompleks Darul Kifayah termasuk kos pendidikan, makanan harian, barangan keperluan, asrama yang kondusif, fasiliti pembelajaran yang lengkap serta kebajikan anak yatim dan asnaf.

Menurutnya, MAIWP sentiasa memastikan setiap wang zakat yang diterima diuruskan dengan telus demi kesejahteraan umat Islam.

Tambahnya, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk penganjuran Iftar Ala Madinah, hasil kerjasama antara MAIWP dan Sinar Harian yang memberi pengalaman berbuka puasa seperti di Masjid Nabawi.

"Program ini juga bertujuan mempromosikan fungsi serta peranan MAIWP kepada masyarakat.”

"Objektif utama penganjuran adalah untuk memberi peluang kepada anak-anak di Kompleks Darul Kifayah dan Pondok Moden Al-‘Abaqirah merasai keberkatan berbuka puasa secara berjemaah dalam suasana meriah, seolah-olah seperti di Madinah," tambahnya.

Pelajar menadah tangan berdoa sebelum berbuka puasa dalam Program Iftar Ala Madinah.
Pelajar menadah tangan berdoa sebelum berbuka puasa dalam Program Iftar Ala Madinah.



Dalam usaha memastikan kebajikan golongan asnaf terus terbela, MAIWP ujar beliau, turut menyediakan program duit raya serta membawa mereka membeli pakaian baharu bagi memastikan mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan penuh kegembiraan.

Selain itu, institusi masjid menerima wang zakat sebanyak RM30,000, surau Jumaat sebanyak RM25,000, manakala surau biasa menerima RM20,000 bagi penganjuran pelbagai aktiviti ibadah sepanjang Ramadan 1446H.

“Kami bukan sahaja membantu institusi pendidikan, tetapi juga memperuntukkan dana bagi mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan sepanjang Ramadan,” tambahnya.

Seorang penghuni Kompleks Darul Kifayah, Nur Iman Atika Mohd Khalid, 17, berkata program Iftar Ala Madinah memberikan pengalaman berbuka puasa berbeza berbanding kebiasaannya.

"Biasanya kami berbuka di dewan makan asrama, tetapi kali ini penganjuran berbeza dengan menghimpunkan semua pelajar untuk menikmati juadah bersama-sama," katanya yang kehilangan bapanya sejak usia enam tahun.

NUR IMAN ATIKA
NUR IMAN ATIKA



Menurutnya, meskipun tidak dapat berbuka bersama keluarga seperti insan lain, program seperti itu memberi peluang kepada mereka untuk merasai kemeriahan Ramadan dalam suasana lebih bermakna.

"Setiap kali Ramadan, pasti saya akan merindui arwah ayah dan perasaan sedih kerana terlalu rindukannya yang telah tiada sejak saya kecil lagi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!