KKR kaji kaedah kurangkan kos, tempoh pembinaan bangunan kerajaan

Ahmad Maslan (tiga kiri) membuat lawatan kerja ke Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Pendang pada petang Khamis.
Ahmad Maslan (tiga kiri) membuat lawatan kerja ke Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Pendang pada petang Khamis.
A
A
A

PENDANG – Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang meneliti empat kaedah utama bagi mengurangkan kos serta tempoh pembinaan bangunan kerajaan dan infrastruktur tanpa menjejaskan kualiti.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah itu diambil susulan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu lebih banyak projek infrastruktur seperti jalan raya, jambatan dan hospital dibangunkan dengan penjimatan kos.

Menurutnya, inisiatif ini bertujuan memastikan kerajaan dapat melaksanakan lebih banyak projek dengan bajet sedia ada, sekali gus memberi manfaat lebih meluas kepada rakyat.

"Kuncinya ialah bagaimana kita boleh mengurangkan kos tanpa menjejaskan kualiti dan fungsi sesuatu projek. Jika sebuah bangunan dianggarkan menelan kos RM10 juta, bolehkah kita mengurangkannya kepada RM8 juta?

"Sebagai contoh, kos pembinaan hospital biasanya sekitar RM1.5 juta bagi setiap katil. Jika hospital tersebut mempunyai 100 katil, jumlah keseluruhannya ialah RM150 juta. Jadi, bagaimana kita boleh mengurangkan kos ini kepada RM1.2 juta setiap katil supaya keseluruhan projek menjadi lebih murah?

Ahmad Maslan (kanan) mendengar taklimat sempena lawatan kerja ke Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Pendang pada petang Khamis.
Ahmad Maslan (kanan) mendengar taklimat sempena lawatan kerja ke Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Pendang pada petang Khamis.

"Begitu juga dengan projek jalan raya, misalnya pembinaan jalan sepanjang 50 kilometer (km) yang dianggarkan menelan belanja RM200 juta. Mengapa kosnya perlu RM200 juta? Bolehkah ia dilaksanakan dengan RM180 juta? Oleh itu, Perdana Menteri meminta strategi untuk mengurangkan kos projek supaya lebih banyak projek dapat dibiayai di lokasi lain," katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Pendang.

Menurut Ahmad, antara kaedah yang dikaji termasuk penggunaan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) yang mampu mengoptimumkan perancangan dan pelaksanaan projek secara lebih sistematik.

Selain itu, KKR juga meneliti kaedah pembinaan pasang siap dan modular, di mana komponen bangunan dihasilkan secara berasingan sebelum dipasang di tapak pembinaan, sekali gus menjimatkan kos dan masa.

"Kami juga menggalakkan pelaksanaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) terus di tapak pembinaan dan bukannya di lokasi lain yang jauh, kerana kos pengangkutan dan logistik menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan projek.

"Kaedah keempat pula ialah memendekkan tempoh pembinaan dengan mengurangkan fasa pra-pembinaan dan tempoh pembinaan itu sendiri. Semakin lama projek berjalan, semakin tinggi kos bahan dan tenaga kerja," jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad turut menjelaskan bahawa negara jiran seperti Singapura sudah lama mengaplikasikan sistem pembinaan pasang siap dan modular.

"Terdapat sebuah kilang di Pontian, Johor yang menghasilkan bongkah bangunan seperti bilik air, ruang tamu dan bilik tidur yang kemudian dihantar ke Singapura.

"Pada waktu malam, treler besar akan membawa bongkah ini ke sana dan dipasang seperti lego. Kaedah ini bukan sahaja mempercepatkan pembinaan, tetapi juga menjimatkan kos. Malaysia juga boleh mencontohi pendekatan ini," katanya.

Beliau turut memberi contoh kejayaan pembinaan di China yang menggunakan sistem pasang siap sehingga mampu menyiapkan sebuah bangunan 10 tingkat dalam tempoh hanya 28 jam.

"Pencapaian luar biasa ini membuktikan bahawa teknologi moden boleh digunakan untuk menjimatkan kos tanpa menjejaskan kualiti. Kini terpulang kepada JKR, KKR, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan agensi berkaitan untuk mencari jalan terbaik bagi mencapai pengurangan kos dalam pembinaan," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!