Tabung Haji umum dividen 3.25 peratus, prestasi terbaik sejak 2018

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, meningkat berbanding 3.10 peratus yang dicatatkan sejak empat tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata kadar tersebut adalah prestasi terbaik TH dalam tempoh tujuh tahun sejak 2018.
Menurutnya, agihan itu melibatkan jumlah keseluruhan RM2.92 bilion yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta pendeposit TH.
"Kadar ini dicapai selepas mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.58 peratus atau RM99.35 juta.
"Agihan keuntungan ini menjadikan jumlah terkumpul yang telah diagihkan sejak penubuhan TH selama 61 tahun mencecah RM45.79 bilion sehingga kini.
"Ia dipacu oleh prestasi pelaburan yang kukuh, pertumbuhan ekonomi serta pasaran saham yang positif sepanjang 2024, selain usaha berterusan dalam mengawal kos operasi," katanya pada sidang akhbar di Menara TH, di sini, pada Jumaat.
Turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Husain; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman serta Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan TH, Mustakim Mahamad.
Mohd Na'im menegaskan bahawa sebagai institusi kewangan Islam yang berwibawa, TH akan terus berusaha meningkatkan prestasi bagi membantu pendeposit mengembangkan tabungan haji mereka secara mampan.
"Sejak penubuhannya, TH telah membantu lebih 1.5 juta umat Islam di Malaysia menunaikan haji dan menanggung Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM2.8 bilion sejak 2001," katanya.
Tambahnya, meskipun ekonomi global berdepan tekanan inflasi pada 2024, ekonomi Malaysia terus berkembang pada kadar 5.1 peratus, dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh, kadar faedah yang stabil, dan peningkatan pelaburan langsung asing.
"Pertumbuhan ekonomi negara turut didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan serta dasar-dasar baharu kerajaan, termasuk peningkatan gaji minimum dan semakan gaji bagi penjawat awam.
"Inisiatif di bawah kerangka Ekonomi Madani juga memberi kesan positif terhadap pasaran modal negara, di mana TH melaburkan sekitar 90 peratus asetnya dalam pasaran domestik," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman berkata, TH mengamalkan strategi kepelbagaian portfolio pelaburan bagi memastikan pendapatan yang mampan dan berdaya tahan.
Selain itu, TH turut berusaha mengawal kos operasi, yang menyaksikan penurunan sebanyak 4.62 peratus pada 2024 berbanding tahun sebelumnya, termasuk kos bagi Bantuan Kewangan Haji.
"TH sentiasa membuat keputusan pelaburan secara berhati-hati bagi melindungi simpanan pendeposit, selain memastikan nilai pelaburan terus bertambah.
"Keputusan untuk menambah baik alokasi aset strategik (SAA) telah berjaya menjana pulangan yang baik dari pasaran saham," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!