Lantikan baharu 'cuci' semula imej PSM

PENGANALISIS sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan pelantikan Datin Anita Azrina Abdul Aziz sebagai pengerusi baharu Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dapat menghapuskan sebarang prasangka dan persoalan negatif selama ini khasnya berkaitan Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Berasaskan kepada kekuatan 'profil' beliau sebelum dilantik sebagai ahli lembaga pengarah PSM ini, saya yakin pemilihan beliau untuk mengalas tanggungjawab ini di samping sokongan faktor-faktor kelebihan yang saya nyatakan itu rasanya akan menghapuskan sebarang prasangka dan persoalan negatif, harapnya begitulah.
"Saya juga berharap dengan lantikan Datuk Seri Winsor John yang juga Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebagai Timbalan Pengerusi PSM, isu-isu kontroversi berkaitan penggunaan stadium sebagai venue aksi bolasepak negara tidak lagi timbul pada masa depan.
"Semoga lantikan figura-figura ini akan membersihkan imej PSM dan tahniah serta selamat maju jaya," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Anita Azrina, bekas Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, dilantik Pengerusi baharu PSM, bagi penggal 2025-2027, dibantu Windsor John berkuat kuasa Khamis diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Majlis Berbuka Puasa KBS bersama Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM) pada Rabu.
Pengerusi badan berkanun di bawah Kementerian Belia dan Sukan itu sebelum ini Datuk Hans Isaac menerusi Instagram mengumumkan peletakan jawatan yang disandangnya sejak dua tahun lalu.
Tambah Pekan lagi, beliau juga menyambut baik pelantikan Anita Azrina mengisi kekosongan ditinggalkan Hans.
"Secara peribadi saya menyambut baik lantikan pengerusi baharu PSM Datin Anita Azrina ini yang datangnya dalam kalangan ahli lembaga pengarah PSM sedia ada.
"Ini suatu kelebihan kepada sesebuah organisasi itu apabila pemimpin baharu yang dilantik itu sudah berada dalam sistem atau sudah berpengalaman berada dalam organisasi tersebut selama dua tahun," katanya.
Pada masa sama Pekan juga menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu proses kenaikan pangkat juga atau satu pengiktirafan yang diberikan kepada ahli-ahli lembaga pengarah PSM.
"Lantikan ini juga diibaratkan seperti satu proses peralihan kuasa yang sangat efektif dan relevan yang juga boleh berlaku dalam syarikat korporat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!