Wanita masih tersisih, hak dan kesamarataan belum terlaksana - PSM

Danaletchumi Langaswaran
Danaletchumi Langaswaran
A
A
A

SHAH ALAM - Walaupun Malaysia telah mengalami beberapa pertukaran kerajaan sejak 2018, namun sehingga kini masih tiada wanita yang menerajui tampuk pemerintahan negara.

Penglibatan golongan itu juga dalam arena politik masih rendah dengan hanya 13.4 peratus ahli Parlimen, iaitu lebih rendah berbanding 14.9 peratus pada penggal sebelumnya.

Setiausaha Parti Sosialis Malaysia Negeri (PSM) Perak, Danaletchumi Langaswaran berkata, keadaan ini menunjukkan berlakunya ketidaksamarataan antara gender yang masih ketara dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Setiap kali 8 Mac, sering kali diucapkan Selamat Hari Wanita, namun adakah makna sebenar ucapan ini telah direalisasikan?

“Persoalan ini masih belum terjawab, melihat kepada kedudukan dan status wanita di peringkat nasional mahupun global. Bagaimana kita mengukur kebebasan dan kesamarataan wanita, perkara itu masih menjadi satu teka-teki,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah Danaletchumi, golongan ini juga berdepan dengan isu ketidaksamaan dalam pendapatan apabila Laporan Institut Penyelidikan Khazanah pada Oktober 2024 mendedahkan mereka masih menerima gaji purata RM1,242 sebulan.

Manakala, dalam sektor pekerjaan sokongan perkeranian yang di dominasi wanita, sebanyak 68.4 peratus hanya menerima gaji sekitar RM496 sebulan lebih rendah berbanding lelaki.

“Keadaan ini jelas menunjukkan wanita sering dipinggirkan daripada pengiktirafan walaupun mereka mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang termasuk tempat kerja, sukan dan politik.

“Kejayaan lelaki pula sering diagungkan, sementara wanita lebih kerap dikritik berdasarkan penampilan berbanding kebolehan mereka,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Danaletchumi menegaskan, hak dan kesamarataan perlu diberikan kepada semua individu tanpa mengira gender, kaum dan ideologi.

Beliau menambah, diskriminasi terhadap wanita harus dihapuskan sepenuhnya agar sambutan Hari Wanita benar-benar membawa makna yang mendalam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!