Pengganti Hans Isaac perlu arif pengurusan stadium

Dr Pekan Ramli.
Dr Pekan Ramli.
A
A
A

PENGANALISIS sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli berharap Lembaga Pengarah Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dapat melantik individu yang berkelayakan, berpengetahuan serta memiliki kemahiran dan latihan dalam pengurusan bagi menerajui entiti itu selepas pengunduran Datuk Hans Isaac sebagai Pengerusi PSM.

Menurut Pekan, pengganti Hans perlu memahami bidang kuasanya serta berjiwa sukan, selain kompeten dan berkemampuan untuk memikul tanggungjawab sebagai pengurus aset Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Hans sebelum ini mengumumkan pengundurannya di Instagram, menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Pengerusi PSM yang disandang sejak dua tahun lalu.

Beliau merupakan salah seorang daripada 16 individu yang dilantik menganggotai PSM bagi sesi 2023/2025.

Pekan turut menyentuh isu pelantikan jawatan pengerusi dalam organisasi atau agensi kerajaan yang sering diberikan kepada individu dalam kalangan ahli politik atau penyokong kerajaan semasa.

“Kita faham biasanya jawatan pengerusi dalam organisasi atau agensi kerajaan ini dilantik dalam kalangan 'proksi' yang terdiri daripada ahli politik atau penyokong kerajaan semasa. Hak kuasa eksekutif itu juga terletak dalam bidang kuasa menteri yang bertanggungjawab.

“Lagipun jawatan itu hanya sekadar pengerusi, kecualilah jika ia pengerusi eksekutif. Cuma kita pun agak hairan apabila pengerusi PSM sebelum ini seakan-akan menjalankan tugas seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau pengurus besar," katanya.

Pekan menegaskan, jika pengganti Hans tetap dalam kalangan 'proksi', individu yang dipilih mestilah memahami bidang kuasanya dan mempunyai asas dalam pengurusan fasiliti sukan sebagai nilai tambah.

Artikel Berkaitan:

“Lain-lain urusan biarlah dikendalikan oleh CEO PSM. Jangan pula bersetuju atau membuat keputusan yang boleh mencetuskan kemarahan peminat sukan, khususnya bola sepak,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pengunduran Hans, Pekan menyifatkan bekas pelakon itu berundur secara terhormat selepas melalui tempoh penuh kontroversi sepanjang menerajui PSM.

“Era Hans boleh saya katakan sebagai era paling teruk, paling hangat dan penuh kontroversi sejak saat pelantikannya lagi.

“Walaupun didesak berkali-kali untuk meletakkan jawatan, beliau tetap mempertahankan kedudukannya dalam mengendalikan PSM.

“Bagi saya, peletakan jawatan ini adalah satu proses biasa. Hans juga meletakkan jawatan secara terhormat berbanding jika beliau berbuat demikian ketika isu padang Stadium Nasional menjadi perdebatan hangat suatu ketika dahulu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!