Jaulah Iftar Pelajar rapatkan ukhuwah mahasiswa UniKL

A
A
A

GOMBAK - Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan kerjasama Sinar Harian meneruskan tradisi menganjurkan program Jaulah Iftar Pelajar di UniKL British Malaysian Institute (UniKL BMI), di sini pada Rabu.

Menurut Pengerusi UniKL, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali, program tahunan itu memfokuskan untuk mendedahkan para mahasiswa kepada pelbagai aktiviti keilmuan selain memperkukuhkan ukhuwah sesama mereka.

Katanya, penglibatan lebih 432 mahasiswa dalam program istimewa itu membuktikan komitmen UniKL dalam menyemarakkan lagi bulan Ramadan kali ini.

SH MOHMED PUZI
SH MOHMED PUZI

“Ramadan bukan sahaja sebagai bulan ibadah, tetapi juga masa yang amat baik untuk kita merenung dan memperbaiki diri serta memperkukuhkan silaturahim.

“Dalam suasana yang penuh keberkatan ini, kami berharap para mahasiswa yang datang dari kesemua 12 kampus UniKL dapat berinteraksi dan bertemu sesama mereka sebagai usaha memperkukuhkan ikatan ukhuwah dalam kalangan komuniti kampus,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

337 mahasiswa UniKL terima zakat

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus memperluaskan inisiatif bantuan zakat dengan melantik 18 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) termasuk UniKL untuk mengagihkan zakat kepada mahasiswa memerlukan, khususnya dari golongan B40 dan asnaf.

MOHD HAIRULAZLAN
MOHD HAIRULAZLAN

Menurut Ketua Jabatan Perundingan Zakat, Mohd Hairulazlan Ramlan, seramai 337 mahasiswa UniKL menerima bantuan zakat yang dipilih melalui satu proses bancian dan tapisan permohonan secara telus.

“Bantuan zakat ini bertujuan meringankan beban kewangan keluarga mahasiswa khususnya golongan B40 dan asnaf agar mereka dapat memberi fokus kepada akademik mereka.

“Selain mahasiswa berasal dari Selangor, bantuan ini turut diperluaskan kepada mereka yang datang dari negerinegeri lain,” katanya.

33,580 bungkus bubur lambuk diagihkan

Menurut Dekan UniKL British Malaysian Institute (UniKL BMI), Ts Dr Zulkifli Mahmoodin, UniKL terus menghidupkan tradisi Ramadan dengan penganjuran program Mega Bubur Lambuk yang menyaksikan kesemua 12 kampus seluruh negara memasak dan mengedarkan bubur lambuk secara serentak pada Rabu.

Beliau berkata, sebanyak 102 kawah bubur lambuk dimasak bermula seawal jam 9 pagi sebelum diagihkan kepada hampir 33,580 penerima termasuk warga kampus dan komuniti setempat.

ZULKIFLI
ZULKIFLI

“Di UniKL BMI sahaja, sebanyak enam kawah digunakan untuk memasak bubur lambuk dengan bantuan warga kerja dan mahasiswa.

“Aktiviti yang dibuat secara bergotongroyong ini membuka ruang untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara warga kampus,” katanya.

Tambah Zulkifl i, program itu juga memberi peluang kepada mahasiswa untuk meningkatkan kemahiran insaniah mereka sekali gus melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi memiliki daya kepimpinan dan komunikasi yang baik.

Dalam pada itu, Timbalan Dekan Pembangunan Mahasiswa dan Gaya Hidup Kampus UniKL BMI, Dr Azriaty Mazlan berkata, sebagai hos utama pada tahun ini, UniKL BMI turut mengadakan pelbagai aktiviti kerohanian lain di bawah program Marhaban Ya Ramadan yang telah berlangsung sepanjang bulan puasa.

AZRIYATI
AZRIYATI

Menurutnya, Mega Bubur Lambuk merupakan sebahagian daripada program itu dengan penglibatan hampir 60 mahasiswa dan warga kerja UniKL BMI yang turut menyumbang tenaga.

“Sepanjang Ramadan, kami turut menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan seperti tazkirah, dan membaca al-Quran melalui teknik 4T iaitu Tadarus, Talaqqi, Tahsin dan Tadabbur serta Jaulah Iftar pada petang ini.

“Insha-ALLAH, tahun 2026, kita menjangkakan pertambahan jumlah kawah bubur lambuk di setiap kampus dan mengalu-alukan penglibatan komuniti luar untuk turut serta dalam program ini,” ujarnya.

Ringankan beban kewangan

Sementara itu, Presiden Jawatankuasa Perwakilan Mahasiswa (JPM) UniKL BMI, Nur Aina Aqilah Ahmad Fadzil pula berkata, pengalaman pertama mengendalikan program sebegini bukan sahaja mencabar tetapi turut menjadi memori bermakna.

NUR AINA
NUR AINA

“Walaupun penat ditambah pula cabaran panas dan berpuasa, saya rasa berbaloi kerana dapat belajar banyak perkara baharu dalam pengurusan program.

“Selain mengeratkan silaturahim, ia juga dapat meringankan beban perbelanjaan mahasiswa untuk membeli juadah berbuka puasa,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa 2025 (MPM) UniKL, Muhammad Anas Ishak berkata, Jaulah Iftar Pelajar yang dianjurkan bukan sahaja dapat menghimpunkan mahasiswa 12 kampus UniKL, tetapi turut meringankan beban kewangan dalam menyediakan juadah berbuka.

Menurutnya, program berkenaan turut menjadi platform untuk lebih mengenali rakan dari kampus UniKL yang lain.

“Ini merupakan inisiatif dalam merapatkan ukhuwah antara rakan-rakan berlainan kampus.

“Selain menjimatkan wang berbelanja juadah berbuka, kami turut berkesempatan berbuka puasa dan solat berjemaah beramai-ramai,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!