Elak guna khidmat 'kontraktor' warga asing

PKMM Negeri Perak menasihatkan orang ramai agar menggunakan khidmat kontraktor berdaftar bagi mengelakkan risiko penipuan oleh warga asing yang tidak mempunyai lesen sah. Gambar hiasan. (Gambar kecil: Jamaluddin)
PKMM Negeri Perak menasihatkan orang ramai agar menggunakan khidmat kontraktor berdaftar bagi mengelakkan risiko penipuan oleh warga asing yang tidak mempunyai lesen sah. Gambar hiasan. (Gambar kecil: Jamaluddin)
A
A
A

IPOH - Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Perak menasihatkan orang ramai agar menggunakan khidmat kontraktor berdaftar bagi mengelakkan risiko penipuan oleh warga asing yang tidak mempunyai lesen sah.

Yang Dipertuanya, Datuk Jamaluddin Abdul Rahim berkata, terdapat banyak kes individu mengupah warga asing seperti dari Indonesia dan Bangladesh tidak berlesen untuk kerja-kerja pembinaan atau baik pulih rumah.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ramai orang tempatan ditipu oleh 'kontraktor' warga asing apabila mereka gagal menyiapkan projek atau melarikan diri.

"Bila berlaku penipuan, ramai yang tidak tahu nak mengadu kepada siapa kerana mereka tidak mempunyai sebarang rekod atau alamat tetap.

"Jika menggunakan kontraktor berdaftar, sekiranya berlaku masalah, tindakan boleh diambil kerana mereka mempunyai lesen dan sijil yang sah,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Berbuka Puasa PKMM Negeri Perak di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Jamaluddin berkata, setiap kontraktor sah perlu mendapatkan lesen daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) bagi membolehkan mereka beroperasi secara sah serta menyertai tender kerajaan.

"Selain lesen asas, kontraktor yang melakukan kerja baik pulih rumah juga perlu memiliki lesen khas, iaitu B28.

"Malangnya, ramai yang tidak menyedari perkara ini dan lebih memilih jalan mudah dengan mengupah pekerja asing yang tidak bertauliah.

Artikel Berkaitan:

"Akibatnya, jika rumah yang dibina atau dibaik pulih mengalami kerosakan, pemilik tidak boleh membuat sebarang tuntutan,” jelasnya.

Justeru, beliau menggesa orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat kontraktor supaya mendapatkan khidmat daripada PKMM bagi memastikan mereka menggunakan kontraktor berdaftar yang sah dan berkelayakan.

Katanya, PKMM Perak kini mempunyai 875 ahli di seluruh negeri yang terdiri daripada kontraktor kelas G1 hingga G7 yang berdaftar dan boleh dihubungi melalui sekretariat di pejabat PKMM Negeri Perak.

Dalam perkembangan lain, Jamaludin berkata, PKMM Negeri Perak turut menawarkan pelbagai manfaat kepada ahlinya termasuk bantuan kebajikan dan kursus latihan.

Menurutnya, bantuan kewangan diberikan kepada ahli atau ahli keluarga mereka sekiranya berlaku kematian dengan kadar terkini sebanyak RM1,500 bagi ahli, RM1,000 untuk isteri dan RM700 untuk anak.

Selain itu, PKMM juga bekerjasama dengan CIDB dan PKK dalam penganjuran kursus latihan bagi meningkatkan kemahiran kontraktor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!