LHDN perkukuh integriti melalui Hasil Quran Hour

PETALING JAYA - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memperkukuh integriti warga kerja menerusi Program Mahabbah HASiL 2025: Hasil Quran Hour yang menjadi platform mendalami nilai al-Quran dalam kehidupan serta tugasan harian sebagai penjawat awam.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN, Khairul Halimin Abdul Halim berkata, program itu selari dengan agenda tahunan LHDN dalam menyemai budaya kerja berlandaskan prinsip kejujuran dan ketelusan seperti digariskan dalam Surah As-Saff.
"Firman ALLAH dalam Surah As-Saff mengingatkan tentang pentingnya ketelusan dalam setiap perbuatan dan perkataan kita.
“Sebagai warga LHDN yang diberi amanah mengurus hasil negara, kita perlu menjadikan al-Quran sebagai asas dalam membentuk jati diri yang berintegriti, amanah dan profesional,” katanya selepas melancarkan program tersebut di Masjid Damansara Perdana, pada Khamis.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDN, Shaharrudy Othman; Imam Besar Masjid Damansara Perdana, Amir Fauzan Hazim Adnan; dan Pengerusi Program Hasil Quran Hour, Noraini Mustafa.
Program itu turut dihadiri 500 pegawai LHDN sekitar Lembah Klang.
Hasil Quran Hour yang kini memasuki tahun keenam menjadi platform LHDN memperkukuh penghayatan al-Quran dalam kalangan warga kerja menerusi kefahaman dan pengamalan isi kandungannya dalam tugasan serta kehidupan seharian.
Menurut Khairul Halimin, penganjuran bertemakan #SavingTheUmmah itu diharap mampu memupuk kesedaran mengenai peranan penting penjawat awam dalam membentuk peribadi unggul berlandaskan prinsip al-Quran.
"Surah As-Saff menekankan kesatuan dan kepimpinan yang berpaksikan kebenaran, selari dengan tanggungjawab kita kepada masyarakat. Pembudayaan al-Quran bukan hanya terhad kepada bacaan, malah kita perlu mengamalkan ajarannya termasuk dalam menjalankan tugasan harian di LHDN.
“Program ini juga menyokong aspirasi Malaysia Madani dalam menyemai nilai kemampanan, kesejahteraan dan ihsan dalam organisasi serta masyarakat. Saya berharap program ini dapat memberi impak positif kepada semua warga LHDN,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Islam (PERKIS) LHDN, Mohd Husni Mohd Noor berkata, penghayatan al-Quran dalam kalangan warga kerja LHDN mampu meningkatkan keyakinan pembayar cukai terhadap integriti pegawai dalam melaksanakan amanah mengurus hasil negara.
“Program ini secara tidak langsung mampu meningkatkan keyakinan pembayar cukai bahawa pegawai LHDN melaksanakan tugas dengan penuh integriti, sekali gus mendorong mereka menunaikan tanggungjawab membayar cukai secara sukarela.
“Kutipan cukai yang meningkat hasil kepercayaan itu akan membantu memperkukuh pembangunan negara dan menyediakan lebih banyak kemudahan kepada rakyat secara menyeluruh,” jelasnya.
Mohd Husni turut menegaskan bahawa tanggungjawab membayar cukai adalah amanah besar yang perlu dilaksanakan sebaiknya oleh setiap rakyat demi kemajuan negara.
"Zakat hanya untuk golongan Muslim, tetapi cukai memberi manfaat lebih luas kerana digunakan untuk pembangunan dan kemudahan semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
“Program ini mampu menyuntik semangat warga kerja LHDN untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pembayar cukai. Apabila urusan dipermudahkan, pembayar cukai akan lebih bersedia menyumbang secara sukarela demi kemajuan negara," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Maslinda Mohd Esak menyeru orang ramai hadir memeriahkan World Quran Hour di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sempena sambutan satu dekad program berkenaan.
"Kita sasarkan kehadiran 10,000 orang sebagai simbolik 10 tahun penganjuran World Quran Hour yang akan berlangsung pada 25 Mac ini.
"Semua dijemput hadir bersama kumpulan masing-masing untuk membaca, memahami dan membentuk saf kukuh berpandukan surah As-Saff demi kesejahteraan umat Islam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
