Syed Saddiq arah keluarkan RM1 juta selepas 'Langkah Sheraton'- Pendakwa raya

Syed Saddiq tiba di Istana Kehakiman pagi Khamis untuk pendengaran rayuan hari kedua terhadap sabitan dan hukuman bagi empat pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Armada yang membabitkan beliau. Foto Bernama
Syed Saddiq tiba di Istana Kehakiman pagi Khamis untuk pendengaran rayuan hari kedua terhadap sabitan dan hukuman bagi empat pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Armada yang membabitkan beliau. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Pendakwaan memberitahu Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis bahawa, bekas Penolong Bendahari Armada memaklumkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah memberi arahan untuk mengeluarkan wang RM1 juta, beberapa hari selepas ‘Langkah Sheraton’.

‘Langkah Sheraton’ merujuk kepada peristiwa politik pada Februari 2020, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin selaku responden berkata demikian ketika prosiding rayuan Syed Saddiq, 33, untuk mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, dan denda RM10 juta atas atas empat kesalahan berkaitan dana Armada.

Menurutnya, bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali, 35, memaklumkan, Syed Saddiq mengatakan wang tersebut perlu dikeluarkan daripada akaun CIMB Armada Pusat kerana bimbang berlaku pertukaran pucuk pimpinan parti.

“Rafiq yang juga SP13 (saksi pendakwaan ke-13) memberitahu, Syed Saddiq selaku perayu mengaku wang tersebut merupakan hasil titik peluhnya, maka beliau berhak untuk menggunakan duit itu sepenuhnya.

“Fakta itu telah disokong oleh keterangan SP11, bekas Penolong Setiausaha Armada, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi bahawa, wang itu dikeluarkan demi kepentingan politik perayu,” katanya.

Wan Shaharuddin berkata, dua saksi itu juga memberitahu pengeluaran wang RM1 juta pada 6 Mac 2020, berlaku dua hingga tiga hari selepas ‘Langkah Sheraton’.

Katanya, ia merupakan pergolakan politik dalam sejarah Malaysia hingga menyebabkan jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, berdasarkan keterangan dua saksi ini, ia menunjukkan perayu khuatir dengan pertukaran pucuk pimpinan di dalam Bersatu atau Armada.

“Seterusnya, menunjukkan niat jahat perayu apabila mengeluarkan wang tersebut, seolah-olah menjadikan wang dalam akaun parti seperti miliknya sendiri, yang mana ia boleh digunakan sewenang-wenangnya tanpa membuat sebarang kertas kerja.

“Selaku pemegang amanah akaun Armada dan pemimpin yang selalu memberi gambaran imej bersih, beliau sepatutnya lebih tahu dan tidak patut mengarahkan SP13 untuk melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, SP13 juga memberitahu, tidak akan mengeluarkan jutaan ringgit itu sekiranya tidak menerima arahan daripada perayu.

Wan Shaharuddin kemudiannya mengingatkan pihak pembelaan Syed Saddiq, bahawa, kes ini bukanlah perayu melakukan pecah amanah sebaliknya, bersubahat dengan membuat arahan untuk melakukan pengeluaran wang.

“SP13 dan ahli-ahli WhatsApp grup “Value Add’ sebenarnya menjadi alat kepada perayu.

“Perayu juga sanggup mengheret ibu bapanya, dalam masalah yang dia sendiri menjadi punca,” katanya.

Pada Rabu, ketika prosiding rayuan hari pertama, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq, 33, berkata, bekas Armada Bersatu itu tidak pernah mengarahkan SP11 dan SP13 untuk mengeluarkan wang RM1 juta, sehingga dituduh atas pertuduhan bersubahat pecah amanah.

Menurutnya, dakwaan pengeluaran itu didorong oleh niat atau motif yang tidak baik, selain timbul isu mahu menyembunyikan wang tersebut daripada pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga boleh dipertikaikan.

Beliau berkata, ini kerana wang yang dikeluarkan dilengkapi dengan tandatangan Rafiq Hakim, yang mana saksi itu merupakan tiga daripada pemegang amanah akaun Armada.

Prosiding hujahan pihak pendakwaan di hadapan panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, bersambung pada 17 April.

Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.

Syed Saddiq kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat kes itu serta mengetepikan hukuman terbabit.

Prosiding rayuan ini merupakan peringkat kedua pengadilan, yang mana sekiranya dia didapati kekal bersalah, Syed Saddiq masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun jika panel hakim menbenarkan rayuan anak kelahiran Johor Bahru itu dengan mengetepikan Mahkamah Tinggi, maka dia akan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!