Banjir Johor: Penduduk trauma, buntu fikirkan persiapan raya

ISKANDAR PUTERI - Banjir yang melanda Kampung Skudai Kecil di sini sejak petang Rabu memberi kesan mendalam kepada penduduk kerana masih trauma dengan kejadian banjir besar yang pernah melanda kawasan itu sebelum ini.
Penduduk, Erniza Erwan, 41, berkata, kejadian banjir kali ini merupakan kali ketiga selepas insiden serupa pada tahun 2006 dan 2020 yang menyaksikan keseluruhan rumah dinaiki air kerana berdekatan dengan Sungai Skudai.

Katanya, banjir kali ini yang berlaku pada bulan Ramadan menyebabkan dia sekeluarga buntu memikirkan persiapan Aidilfitri anak-anak.
"Saya dan suami rancang hendak beli baju raya untuk empat orang anak pada minggu depan. Tapi sekarang kami perlu gunakan wang untuk bersihkan rumah dan beli perabot serta peralatan elektrik yang rosak akibat banjir.
"Air naik lebih satu meter pada sebelah malam. Kami sekeluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) naik bot bomba selepas jalan keluar dari kampung dinaiki air," katanya ketika ditemui di PPS Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Skudai di sini pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha Eksekutif Yayasan Penyayang Iskandar Puteri, Datuk Abd Rashid Kasman.
Seorang lagi penduduk, Alfian Marjuni, 55, pula berkata, dia sedang menyediakan juadah berbuka puasa untuk keluarganya sebelum rumahnya dilanda banjir pada kira-kira jam 4.40 petang.
"Saya terus beritahu suami sebelum kami segera menaikkan barangan elektrik, makanan, pakaian dan dokumen penting ke bahagian tinggi.
"Bagaimanapun air bah terlalu deras kerana tak sampai setengah jam sudah hampir ke paras dada menyebabkan banyak barangan tak sempat diselamatkan.
"Sayu sedih kediaman kami ditenggelami air bah sehingga hampir paras bumbung. Hari ini jiran maklumkan rumah kami sudah tenggelam sepenuhnya," ujarnya.
Alfian turut merasa sedih kerana tidak sempat menyelamatkan baju raya, tudung dan kasut yang dihadiahkan anaknya untuk dipakai pada pagi raya nanti.
"Biskut raya yang sudah siap dibuat termasuk biskut gajus, biskut kacang, semperit dan biskut Nestum semuanya habis tenggelam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!