Mengapa Israel langgar gencatan senjata?

GAZA CITY – Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Genting Gaza pada awal pagi Selasa, mengorbankan lebih 400 nyawa dalam tempoh hanya beberapa jam.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa perang terhadap Gaza telah disambung semula, sekali gus menamatkan gencatan senjata yang sebelum ini dikuatkuasakan.
Laporan menyebut bahawa serangan udara Israel tertumpu di kawasan utara, tengah dan selatan Gaza.
Menurut Al Jazeera Arabic, kereta kebal Israel turut membedil bandar Abasan di Khan Younis. Wartawan Al Jazeera, Tareq Abou Azzoum melaporkan bahawa kebanyakan serangan menyasarkan kawasan padat penduduk, sekolah sementara serta bangunan kediaman yang dijadikan tempat perlindungan.
[Wanita dan kanak-kanak antara korban]
Sekurang-kurangnya 404 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan itu, dengan ramai lagi dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan.
Pejabat Media Kerajaan di Gaza memaklumkan bahawa majoriti mangsa yang terkorban terdiri daripada wanita, kanak-kanak dan warga emas. Malah, dalam beberapa kes, seluruh keluarga dilaporkan terbunuh akibat serangan itu.

[Mengapa Israel langgar gencatan senjata]
Israel mendakwa serangan itu bertujuan untuk memaksa Hamas membebaskan tahanan yang masih berada di Gaza.
Bagaimanapun, laporan Al Jazeera memetik sumber yang mendakwa bahawa Israel sendiri menarik diri daripada rundingan fasa kedua perjanjian gencatan senjata yang sepatutnya membawa kepada penghujung perang dan pembebasan kesemua 59 tahanan Israel yang masih berada di Gaza.
Israel sebelum ini dilaporkan cuba mengelak daripada meneruskan fasa kedua gencatan senjata dengan sokongan Amerika Syarikat (AS), manakala Hamas bertegas bahawa perjanjian itu perlu diteruskan seperti yang telah dipersetujui sebelum ini.
Dalam satu kenyataan di Telegram, Hamas menyatakan rejim Zionis itu melanggar perjanjian gencatan senjata dan meneruskan “pembunuhan beramai-ramai”.
Serangan itu, kata Hamas, adalah pelanggaran terang-terangan terhadap semua konvensyen antarabangsa dan kemanusiaan.
Tambahnya, situasi kemanusiaan yang semakin buruk serta kekurangan bekalan perubatan menyebabkan ramai mangsa yang cedera tidak dapat diselamatkan kerana hospital tidak lagi beroperasi sepenuhnya.
Dalam pada itu, Rumah Putih mengesahkan bahawa Israel telah berunding dengan Washington sebelum memulakan serangan.
Menurut kerajaan Israel, masih terdapat kira-kira 59 tahanan yang ditahan oleh Hamas di Gaza, dengan kurang separuh daripada mereka dipercayai masih hidup.
Hamas menyatakan Israel mempertaruhkan nyawa tahanan dengan melancarkan serangan ini, manakala keluarga tahanan di Israel meluahkan kemarahan terhadap keputusan kerajaan Netanyahu.
“Kami terkejut, marah dan ketakutan kerana kerajaan sengaja menggagalkan proses pembebasan mereka,” kata Forum Keluarga Tahanan dan Orang Hilang dalam satu kenyataan.
[Punca sebenar eskalasi]
Sejak awal rundingan gencatan senjata, Israel enggan memberi jaminan bertulis bahawa ia tidak akan menyambung semula peperangan selepas fasa pertama.
Hamas tetap bersetuju dengan syarat itu selepas menerima jaminan lisan daripada Mesir, Qatar dan AS bahawa Israel tidak akan meneruskan perang.
Namun, perkembangan terkini membuktikan sebaliknya, dengan AS sekali lagi didakwa gagal menunaikan janjinya untuk melindungi rakyat Palestin daripada keganasan Israel yang dikatakan melanggar undang-undang antarabangsa.
[Israel berterusan melakukan kekejaman]
Sejak gencatan senjata dimeterai, Israel terus mengebom selatan Lubnan, membunuh empat orang di dua kampung pada 16 Mac lalu.
Pada malam yang sama, Israel turut melancarkan serangan udara di bandar Deraa, Syria, mendakwa menyasarkan saki-baki rejim bekas Presiden Bashar al-Assad, walaupun motif sebenar serangan itu masih tidak jelas.
Selain itu, Israel terus menjalankan serbuan ganas di kem pelarian Palestin di Tebing Barat atas alasan membanteras pejuang Palestin. - Agensi
Namun, pakar sebelum ini memberitahu Al Jazeera bahawa kumpulan bersenjata di kem pelarian Palestin sebenarnya tidak menimbulkan ancaman besar kepada Israel. Sebaliknya, mereka wujud sejak 2021 sebagai tindak balas terhadap serbuan ganas Israel yang semakin kerap di kawasan itu serta pendudukan Israel yang semakin menekan rakyat Palestin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!