Kekuatan ketenteraan Islam global diperlukan, lindungi mangsa kezaliman

Mohd Khairuddin Aman Razali
Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Kekuatan ketenteraan Islam global diperlukan bagi melindungi mangsa kezaliman pihak yang mempunyai kuasa di peringkat dunia.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, bulan Ramadan mengajak umat Islam menghayati kekuatan itu ekoran kuasa dunia dengan semberono membunuh atas pelbagai alasan yang direka bagi menutup keserakahan mereka.

"Pembunuhan adalah satu kekejaman, apatah lagi oleh mereka yang berkuasa dengan senjata yang memusnahkan seperti bom dan peluru berpandu melibatkan masyarakat awam tanpa sebarang kesalahan.

"Dosa pembunuhan satu jiwa sudah besar di sisi ALLAH sehingga disebut oleh al-Quran sebagai 'seolah membunuh manusia keseluruhannya', lebih-lebih lagi pembunuhan sekelompok manusia sebagai genosid," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Pada Selasa media melaporkan, Israel melancarkan serangan udara dan mencederakan 562 rakyat Palestin sekali gus mengakhiri tempoh beberapa minggu ketenangan relatif selepas rundingan untuk mencapai gencatan senjata kekal terhenti.

Rejim itu dan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, saling menuduh antara satu sama lain melanggar gencatan senjata yang secara umumnya bertahan sejak Januari.

Perjanjian tersebut telah memberi sedikit kelegaan kepada 2.3 juta penduduk Gaza ekoran sebilangan besar bangunan telah musnah.

Hamas masih menahan 59 daripada kira-kira 250 tebusan yang didakwa Israel diculik dalam serangan 7 Oktober 2023, menuduh Israel menggagalkan usaha perunding untuk mencapai perjanjian kekal bagi menamatkan pertempuran.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!