Bina bangunan 30 tingkat tahan gempa

SHAH ALAM – Sudah tiba masanya kerajaan memikirkan keperluan pembinaan bangunan mampu tahan gempa bumi mengambil kira gegaran gempa bumi di luar pantai barat Sumatera Utara, Indonesia yang dapat dirasai penduduk di hampir kesemua negeri di Semenanjung.
Pensyarah Kanan di Jabatan Seni Bina dan Alam Bina, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mazlan Mohd Tahir berpandangan, pertimbangan itu sewajarnya dibuat bagi pembinaan bangunan bertingkat tinggi terutama setinggi 30 tingkat ke atas.
“Negara kita berdekatan dengan Indonesia yang berada di bawah Lingkaran Api Pasifik, sekali gus menyebabkan mereka berisiko alami bencana alam seperti gempa bumi. Jadi seharusnya kita kena pertimbangkan risiko-risiko sekiranya kita alami gegaran lagi pada masa akan datang.
“Gegaran yang baharu kita rasai agak luar biasa dan mungkin disebabkan pergerakan plat tektonik bumi. Kita tidak tahu pergerakannya macam mana, namun di Amerika Syarikat, pergerakannya dilapor lebih besar,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Ritcher yang melanda luar pantai barat Sumatera Utara, Indonesia pada Selasa dianggap unik kerana gegaran dapat dirasai penduduk di 10 negeri di Semenanjung.
Mazlan menjelaskan, pembinaan bangunan tahan gempa bumi akan memastikan bangunan kekal utuh dan selamat biarpun berlaku gegaran, apatah lagi banyak projek pembinaan bangunan bertingkat tinggi dibangunkan di negara ini termasuk membabitkan kediaman.
“Bila terjadinya gegaran, akan ada pemindahan tenaga kepada sesebuah bangunan menyebabkan berlaku pergerakan pada bangu-nan terbabit. Kalau pergerakan tersebut banyak, ia boleh mengakibatkan kerosakan dan kegagalan struktur tiang bangunan.
“Sekiranya ciri keselamatan anti gempa turut dimasukkan dalam pembinaan bangunan, pemasangan cerucuk atau piling bangunan juga akan mungkin akan lebih dalam. Misalnya, kalau katakan pemasangan cerucuk lazimnya sedalam 30 meter, jadi mungkin ia dipasang 50 meter. Ini akan memastikan bangunan itu lebih selamat,” ujarnya.
Justeru, Mazlan menegaskan, Malaysia perlu serius mempertimbangkan penggunaan Malaysian Standard (MS) Eurocodes (EN) 1998-1:2015 (Eurocode 8) iaitu Reka Bentuk untuk Rintangan Gempa dalam pembinaan bangunan bertingkat tinggi.
Menurutnya, MS EN merujuk kepada satu set piawaian yang diterima pakai oleh Malaysia daripada EN, iaitu piawaian Eropah untuk reka bentuk struktur.
“Piawaian ini dikeluarkan Jabatan Standard Malaysia dan digunakan untuk kawal selia amalan pembinaan, memastikan bangunan dan infrastruktur memenuhi keperluan keselamatan, ketahanan dan kemampanan,” ulas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!