Wajar atau tidak hadkan tempoh jawatan PM 10 tahun?

DAP mahu dalam tempoh 24 bulan kerajaan perlu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia adalah manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang perlu ditunaikan.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berpandangan, saranan itu tidak sesuai untuk dilaksanakan di negara ini kerana dikhuatiri akan membantutkan pentadbiran negara.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin menyifatkan cadangan tersebut adalah seiring dengan visi dan kerangka dasar reformasi yang ditekankan beliau dalam gagasan ‘Membangun Negara Madani’ dan ia bukan perkara baharu.
Pelbagai reaksi diterima daripada pelbagai pihak berhubung perkara itu dan masing-masing mempunyai hujah serta pandangan yang tersendiri.
SOKONG
Demokrasi lebih sihat, elak salah guna kuasa
Saya setuju tempoh jawatan Perdana Menteri dihadkan kepada 10 tahun bagi mengelakkan rasuah, salah guna kuasa dan memberikan peluang kepada pemimpin baharu.
Jika melihat dari sudut positif, ia akan memastikan kepimpinan negara sentiasa segar. Bayangkan, setiap satu atau dua dekad, kita ada pemimpin dengan idea baharu.
Tiada lagi pemimpin yang terlalu lama berkuasa, sehingga menyebabkan ketidakstabilan dalam politik. Demokrasi pun menjadi lebih sihat kerana kuasa tidak berpusat hanya kepada seorang individu.
Bagaimanapun, timbul juga kebimbangan, apabila Perdana Menteri kerap ditukar, kestabilan pentadbiran negara akan terjejas.
Kos pentadbiran juga boleh meningkat sebab setiap kali kepimpinan bertukar kerana dasar dan struktur kerajaan pasti turut berubah.
Bayangkan jika ada dasar yang bagus untuk jangka panjang namun terpaksa dirombak setiap kali ada pemimpin baharu. Bukankah itu boleh mengganggu pentadbiran negara.
Justeru, perbincangan secara mendalam antara pakar, ahli politik dan rakyat amat penting sebelum keputusan dibuat.
- Pegawai Kanan, Transformasi dan Strategi, Muhamad Ameer Asyraff A Raman, 31
Ada pembaharuan dalam kepimpinan negara
Mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun adalah satu idea yang bagus.
Jika seseorang itu memegang jawatan terlalu lama, dia mungkin menjadi terlalu selesa dengan kuasa dan membuka ruang kepada penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa.
Jika ada had masa, pemimpin akan datang dan pergi jadi tiada seorang pun yang boleh memonopoli kuasa terlalu lama.
Jika kita melihat negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), sistem seperti ini sudah lama dipraktikkan. Dua penggal jadi Presiden, selepas itu laluan diberikan kepada pemimpin baharu.
Ini bukan soal siapa yang lebih layak, tetapi lebih kepada ingin memastikan ada pembaharuan dalam kepimpinan negara.
Saya fikir Malaysia perlu mengikut jejak langkah itu supaya sistem pemerintahan kita lebih segar, telus dan tidak bergantung kepada satu individu terlalu lama.
Lagipun, ini bukan perkara baharu. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menyatakan bahawa ia selari dengan visi reformasi kerajaan.
Ini bukan sekadar janji dalam manifesto tetapi sesuatu yang boleh menjamin pentadbiran yang lebih bersih dan teratur.
Jadi, jika kita betul-betul ingin memastikan Malaysia terus maju dengan sistem yang lebih baik, sangat wajar jika kerajaan segera melaksanakan pindaan berkaitan.
- Pesara, Faridah Mohd Ariff, 70
BANGKANG
Rakyat berhak pilih pemimpin
Pada pandangan saya, adalah tidak wajar untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun kerana menjadi seorang pemimpin dalam negara berbilang kaum, bukanlah sesuatu yang mudah.
Rakyat yang berhak memilih pemimpin mereka. Jika Perdana Menteri itu boleh melaksanakan tugasnya dengan baik dan masih mendapat sokongan rakyat, kenapa perlu memaksanya berundur hanya kerana sudah cukup 10 tahun?
Sejarah juga menunjukkan bahawa terdapat pemimpin yang mampu mentadbir sesebuah negara dalam tempoh yang panjang dengan berjaya, antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama lebih 20 tahun dan berjaya membawa Malaysia ke arah pembangunan yang pesat.
Bayangkan kalau dahulu ada peraturan tersebut, Dr Mahathir tidak akan sempat memimpin dan membawa negara ke tahap kemajuan hari ini.
Bukan semua pemimpin mampu menguruskan negara dengan baik dalam masa singkat. Ada yang memerlukan masa lebih lama untuk merancang, melaksana dan melihat hasilnya.
Jadi, daripada memikirkan cara menghadkan tempoh Perdana Menteri, lebih baik fokus kepada bagaimana hendak memastikan sistem politik lebih stabil dan rakyat dapat kepimpinan yang terbaik.
- Pekerja swasta, Mohamad Zarif Mohd Zamri, 30
Ganggu kestabilan pentadbiran negara
Saya berpendapat, tidak wajar dihadkan tempoh jawatan Perdana Menteri hanya 10 tahun kerana ia boleh mengganggu kestabilan pentadbiran negara.
Setiap kali tukar Perdana Menteri, biasanya akan ada perubahan dasar kerana setiap pemimpin mempunyai pendekatan dan visi yang berbeza.
Kalau had 10 tahun ini dikuatkuasakan, dasar jangka panjang sedia ada mungkin tidak sempat hendak membuahkan hasil dan akhirnya rakyat juga yang menanggung rugi.
Selain itu, ia turut mewujudkan ketidaktentuan dalam sektor ekonomi dan pelaburan. Hal itu sudah tentu memberikan kesan kepada keyakinan pelabur luar.
Pelabur luar mungkin akan berasa kurang yakin dengan kestabilan negara jika dasar ekonomi sering berubah, yang akhirnya boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan.
Jika betul hendak melaksanakan cadangan itu sekalipun, kerajaan perlu membuat satu kajian yang menyeluruh.
Bukan itu sahaja, kajian tersebut juga perlu mengambil kira pandangan pakar dan ahli politik supaya pelaksanaannya lebih adil serta meliputi semua aspek.
Namun begitu, saya berpandangan, rakyat perlu diberikan kebebasan untuk menentukan pemimpin mereka melalui pilihan raya tanpa sekatan tempoh tertentu.
Selagi mana pemimpin itu tidak terbabit dalam salah laku dan masih mendapat kepercayaan rakyat untuk terus memimpin, maka boleh terus jadi Perdana Menteri.
- Juruteknik kilang, Muhammad Jahwar Sohaimi, 31
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

