Jenguklah sebelum mereka pergi selamanya

Sempena Aidilfitri kali ini, warga emas di rumah jagaan orang-orang tua masih menaruh harapan tinggi agar boleh pulang menyambut lebaran bersama anak-anak. Gambar hiasan
Sempena Aidilfitri kali ini, warga emas di rumah jagaan orang-orang tua masih menaruh harapan tinggi agar boleh pulang menyambut lebaran bersama anak-anak. Gambar hiasan
A
A
A

PENGALAMAN berkunjung ke sebuah rumah perlindungan warga emas baru-baru ini mengundang rasa pilu penulis. Ada 1,001 kisah penghuni yang ditinggalkan.

Tatkala orang ramai sedang bergembira menyambut Ramadan dan Syawal, golongan warga emas ini masih mengenangkan nasib diri yang serba kekurangan.

Salah seorang penghuni lelaki berumur sekitar 60-an membuka kisah hidupnya sebagai gelandangan sebelum ini. Dia yang pernah bekerja dengan beberapa majikan, akhirnya mengambil keputusan pulang ke kampung setelah berhenti kerja.

Entah di mana silapnya, hidup dia tidak menentu ketika meniti usia emas apabila isteri pertama meninggal dunia, manakala isteri kedua pula mengambil keputusan untuk berpisah.

Bapa kepada lima anak itu pada mulanya menumpang di rumah anak, namun hanya bertahan tiga hari kerana dipandang serong keluarga menantu yang turut tinggal berdekatan.

Amat menyedihkan, lelaki itu tanpa jemu sanggup menunggu kedatangan anak yang berjanji untuk menjemputnya balik beraya pada tahun lalu. Namun, janji hanya tinggal janji kerana anaknya itu langsung tak kunjung tiba.

Walaupun pernah diperlakukan sebegitu, namun rindu buat anak dan cucu masih menebal dalam dirinya sehingga menenggelamkan kemarahan lalu.

Sempena Aidilfitri kali ini, dia masih menaruh harapan tinggi agar boleh pulang menyambut lebaran bersama anak-anak.

Bukan mahu membuka pekung sesiapa, namun kisah lelaki warga emas itu sekadar iktibar kepada kita semua.

Artikel Berkaitan:

Sebagai seorang anak, penulis sentiasa ingatkan diri sendiri dan kepada semua supaya santunilah ibu bapa kita selagi masih bernyawa, maafkanlah mereka jika ada sengketa kerana pengorbanan dan kepayahan membesarkan kita tidak ternilai.

Lebih-lebih lagi ibu bapa yang sudah meningkat ke usia emas, pastinya kudrat telah berkurangan, apatah lagi keupayaan berfikir mereka juga sudah berubah. Benar, hati mudah terusik tetapi percayalah ibu bapa mana yang tidak sayangkan anak.

Sebelum ini Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memberi pesanan kepada masyarakat agar komitmen menjaga ibu bapa terutama warga emas perlu dititikberatkan.

Jelas beliau, kementerian juga sentiasa mengambil inisiatif bagi memastikan warga emas di Malaysia meniti usia dengan bermaruah selaras Dasar Warga Emas Negara.

Ujar beliau, semua pihak harus menyantuni dan memberikan kehidupan selesa kepada warga emas atas jasa dan peranan penting yang telah ditabur sepanjang usia mereka.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, peratus warga emas bagi suku kedua 2024 adalah 11.6 peratus atau 3.9 juta daripada jumlah penduduk Malaysia. Dari segi jangka hayat penduduk pula, Malaysia mencatatkan peningkatan jangka hayat kepada 74.8 tahun pada 2023 berbanding 63.6 tahun pada 1970.

Peningkatan jangka hayat itu petunjuk jelas bahawa negara kita akan berhadapan dengan penuaan penduduk menjelang 2030.

Justeru, besarlah peranan semua pihak dalam memastikan warga emas di Malaysia disantuni dengan baik dan berhemah. Anak-anak perlu memainkan peranan penting, mengambil kira keadaan ibu bapa yang berusia termasuk dari aspek kesihatan fizikal dan mental serta emosi.

Hari lebaran ini masa yang sesuai untuk kita menyantuni ibu bapa bagi mengisi kekosongan jiwa, apatah lagi apabila pasangan mereka terlebih dahulu dijemput Ilahi.

Tiada maknanya bergembira menyambut Aidilfitri tetapi pada masa sama membiarkan orang tua menunggu penuh hiba. Beraya tiada maknanya tanpa kasih dan reda ibu bapa.

Jika masih mempunyai peluang, jenguklah ibu bapa sebelum mereka pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Ingatlah, kita pun suatu hari nanti akan menjadi warga emas seperti mereka juga.

Siti Zubaidah Zakaraya ialah Wartawan Sinar Harian Biro Utara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!