Warga emas buat senaman merangkak buaya, percaya panjang umur

BEIJING - Dalam usaha mencapai umur panjang, warga emas di China kini memilih senaman luar biasa seperti merangkak seperti buaya, menghentak badan di pokok dan menggantung leher sebagai rutin harian mereka yang dipercayai dapat menyihatkan tubuh badan mereka.
Senaman merangkak seperti buaya popular di wilayah Jiangsu dan Hunan, di mana puluhan hingga ratusan peserta berbaris merangkak seperti buaya di trek joging dan kawasan lapang.
Mereka biasanya memakai pakaian seragam dan melaungkan slogan berirama.
Peserta mendakwa teknik ini membantu mengurangkan sakit belakang akibat slip disc atau cakera tergelincir.
Namun, pakar kesihatan memberi amaran agar individu yang mempunyai masalah sendi, diabetes, tekanan darah tinggi atau penyakit jantung mengelak senaman ini.
Selain itu terdapat senaman lain di mana ia dapat memberikan fungsi sama untuk tubuh badan di mana warga emas berdiri berhampiran pokok dan menghentak badan mereka ke batang pokok secara perlahan.
Kaedah ini dipercayai dapat melancarkan peredaran darah dan merangsang jingluo atau saluran tenaga dalam perubatan tradisional China (TCM).
Bagaimanapun, doktor memberi amaran bahawa hentakan berulang boleh memberi kesan buruk kepada tulang dan sendi, terutama bagi mereka yang mengalami masalah ketumpatan tulang rendah.
Terdapat lagi senaman lain yang lebih ekstrem iaitu menggantung leher mereka menggunakan kayu mendatar dan tali di bawah dagu, kemudian berayun ke kiri dan kanan.
Mereka percaya kaedah ini dapat melegakan masalah tulang leher.
Namun, pakar perubatan memberi amaran bahawa ia boleh mencederakan otot, saraf dan vertebra.
Pada Mei tahun lalu, seorang lelaki berusia 57 tahun di Chongqing meninggal dunia akibat kecederaan ketika melakukan senaman ini. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!