Pengarah eksekutif kolej didakwa ugut pegawai polis

Tertuduh mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret pada Rabu. Foto hiasan
Tertuduh mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret pada Rabu. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah eksekutif sebuah kolej mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan mengugut seorang pegawai polis berpangkat Asistan Superintenden melalui telefon, bulan lepas.

Al Farid Abdul Hajis, 40, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Asistan Superintenden Mohamed Hanafiah Mohamed Nawi, dengan tujuan hendak mendatangkan ketakutan kepadanya di Pejabat Pegawai Jenayah, Dang Wangi di sini pada jam 3.51 pagi, 5 Februari lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, dan jika ugutan adalah untuk menyebabkan kematian atau kecederaan parah, dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman tidak menawarkan jaminan terhadap lelaki itu kerana kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan dibenarkan, dengan alasan anak guamnya merupakan pengarah eksekutif sebuah kolej dan mempunyai tujuh anak.

"Mangsa dalam kes ini merupakan seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia, maka tiada isu tertuduh akan mengganggu saksi dan dia juga tidak berisiko untuk melarikan diri,” kata peguam itu.

Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim membenarkan Al Farid diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak menghubungi mangsa dan menetapkan 29 Mei ini untuk sebutan kes. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!