Kelindan lori jatuh sungai, penduduk rayu percepat bina jambatan

Yusof melintasi sungai untuk pulang ke rumahnya di Kampung Temalir lama. Foto Pembca Sinar Harian
Yusof melintasi sungai untuk pulang ke rumahnya di Kampung Temalir lama. Foto Pembca Sinar Harian
A
A
A

KUALA KRAI - Penduduk Kampung Temalir Lama di sini merayu supaya pembinaan jambatan dan jalan tuju yang menghubungkan Kampung Temalir Lama ke RPT Temalir dapat dipercepatkan berikutan kesukaran mereka untuk bergerak ke kawasan bandar Kuala Krai.

Sebelum ini penduduk menggunakan titi batang durian sepanjang kira-kira 12.8 meter berdekatan dengan laluan alternatif yang mengambil masa kira-kira 20 minit untuk sampai ke kampung seberang atau bandar Kuala Krai.

Bagaimanapun, tular video di TikTok memaparkan seorang wanita mengandung berjalan di atas titi itu untuk menyeberangi sungai berkenaan.

Zainal
Zainal

Suaminya, Zainal Razali, 43, berkata, isterinya itu sedang sarat mengandung dan dijangka melahirkan bayi mereka pada April depan.

"Jalan sungai ini hanya mengambil masa beberapa minit untuk isteri berulang-alik ke hospital berdekatan kerana masalah kencing manis yang dihidapinya ketika mengandung," katanya.

Menurut Zainal, lebih menyukarkan apabila jalan alternatif rosak, berbatu dan terlalu gelap pada waktu malam sehingga menyukarkan pergerakan penduduk.

Tangkap layar video tular wanita mengandung melintasi titi batang pokok durian di Kampung Temalir Lama.
Tangkap layar video tular wanita mengandung melintasi titi batang pokok durian di Kampung Temalir Lama.

"Saya kini tidak tenang memikirkan keadaan isteri yang perlu berulang-alik untuk bekerja di sebuah hotel di bandar Kuala Krai dalam keadaan begitu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang kelindan lori, Mohammad Zazli Mansor, 26, mengalami kemalangan ketika melalui titi berkenaan.

Mohammad Zazli menunjukkan jarinya yang berbalut akibat luka selepas terkena pemegang titi yang patah.
Mohammad Zazli menunjukkan jarinya yang berbalut akibat luka selepas terkena pemegang titi yang patah.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam semalam (Selasa) selepas pulang membeli barangan keperluan di kedai runcit berdekatan.

"Jari saya luka terkena pemegang titi yang patah dan menerima tujuh jahitan. Alhamdulillah, saya selamat kerana air sungai tidak deras dan hanya 0.3 meter," katanya.

Kini, titi batang durian itu telah dibuang pada Rabu bagi menjaga keselematan penduduk.

Kanak-kanak di kampung berkenaan diminta menggunakan laluan alternatif.

Penoreh getah, Yusof Hassan, 60, pula bekata, masalah tersebut menyebabkan dia memilih untuk menggunakan jalan sungai bagi menjimatkan kos petrol motosikalnya.

Jelasnya, dia tidak mampu mengeluarkan kos RM5 setiap hari untuk melalui jalan bukit kerana jauh dan mengambil masa yang lama untuk sampai ke tempat kerjanya.

"Buat masa ini saya terpaksa meninggalkan motosikal di seberang dan melintas untuk pulang ke rumah dengan mengharungi air sungai," katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di kawasan tapak pembinaan menunjukkan terdapat papan tanda yang memaklumkan pembinaan jambatan dan jalan tuju bagi menghubung Kampung Temalir Lama ke RPT Temalir Kuala Krai.

Maklumat di pana tanda berkenaan memaklumkan tarikh mula pembinaan adalah pada 9 Mei 2024 dan dijangka siap 6 Mei 2026.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!