MB Pahang sertai operasi cari dua beradik dikhuatiri lemas

Wan Rosdy (depan) dan Azli (berdiri) menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR), hari ini. Foto: Ihsan PDRM
Wan Rosdy (depan) dan Azli (berdiri) menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR), hari ini. Foto: Ihsan PDRM
A
A
A
LIPIS - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ikut serta dalam operasi mencari dua beradik yang dikhuatiri lemas di Sungai Jelai dekat Taman Rekreasi Kampung Tanjung Gahai di sini, hari ini.

Operasi mencari Siti Nur Hidayah Mohd Rosli, 19 tahun, dan adiknya, Siti Suhaida, 15 tahun, dari Perumahan Agropolitan Gahai, Kuala Lipis, dimulakan sekitar jam 7.45 pagi dan Wan Rosdy menyertai pencarian itu kira-kira jam jam 11 pagi tadi dengan harapan operasi tersebut berjalan lancar.

"Marilah kita berdoa semoga ALLAH SWT memberikan kemudahan dalam urusan pencarian mangsa lemas ini.

"Tindakan telah diambil pasukan penyelamat bomba bersama pihak polis Sungai Koyan serta Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Tanjung Gahai dan penduduk setempat bagi membantu mencari mangsa," katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasminya, hari ini.

Beliau juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu melibatkan polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan dibantu oleh 20 penduduk kampung.

Menurutnya, operasi pencarian kedua-dua mangsa hari ini adalah sejauh dua hingga tiga kilometer radius.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua beradik dikhuatiri lemas di Sungai Jelai

Dalam kejadian semalam, dua beradik berkenaan dikhuatiri lemas selepas dibawa arus sungai itu kira-kira jam 4.30 petang.
Artikel Berkaitan:


Berdasarkan siasatan awal, kedua-duanya difahamkan bermain di gigi air sebelum dibawa arus sungai.

Setakat ini, mereka dilaporkan masih belum ditemui.