Kelebihan al-Quran berbanding kitab-kitab lain

PERISTIWA Nuzul Al-Quran mengingatkan kita tentang detik bersejarah dalam penurunan kitab suci itu kepada Nabi Muhammad SAW, seterusnya menjadi manual kehidupan kepada umat Baginda.
Meskipun terdapat khilaf dalam kalangan ulama tentang tarikh sebenar Nuzul Al-Quran, tetapi apa yang pasti kalamullah itu turun dalam bulan Ramadan.
Dalam satu artikel yang pernah disiarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor, ada dinyatakan bahawa proses Nuzul Al-Quran terbahagi kepada tiga tahap iaitu:
1. Lohmahfuz.
Tahap pertama al-Quran diturunkan sekali gus di Lohmahfuz atau dikenali sebagai Kitabin Maknun (kitab yang dipelihara).
2. Langit dunia.
Pada tahap itu, al-Quran diturunkan sekali gus dari Lohmahfuz ke Baitul Izzah di langit paling bawah atau langit dunia.

3. Beransur-ansur.
Semasa tahap itu, kalam ALLAH tersebut diturunkan secara langsung kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril yang disebutkan dengan nama ruhul amin.
Al-Quran diturunkan secara berperingkat sekitar 23 tahun ketika Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Nabi dan Rasul sehingga Baginda wafat.
Melihat kepada penurunan al-Quran yang begitu rapi dan tersusun indah, jelas menggambarkan keistimewaan kalam ALLAH berkenaan berbanding dengan buku mahupun kitab-kitab suci yang lain.
Memetik artikel yang pernah disiarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, laman web beanahomequran.com dan liputan6.com, antara keistimewaan al-Quran seperti berikut:
1. Al-Quran kitab Ilahi.
Firman ALLAH SWT: “Alif, lam, ra. Al-Quran sebuah kitab yang tersusun rapi ayat-ayatnya, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu yang diturunkan daripada sisi ALLAH Yang Maha Mendalam pengetahuan-NYA.” (Surah Hud: 1)
2. Al-Quran ialah kitab mahfuz (terpelihara).
Firman ALLAH SWT: “Sesungguhnya KAMILAH yang menurunkan al-Quran dan memeliharanya.” (Surah al-Hijr: 9)

3. Al-Quran ialah kitab mukjizat.
ALLAH SWT berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad) “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan al-Quran, mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu.” (Surah al-Isra’: 88)
4. Al-Quran kitab nyata lagi mudah.
Firman ALLAH SWT: “Maka sesungguhnya kami memudahkan al-Quran dengan bahasamu (wahai Muhammad) moga-moga mereka mengambil pengajaran.” (Surah ad-Dukhan: 58)
5. Istimewanya al-Quran menurut Dr Yusuf Al-Qaradhawi, ayat-ayatnya dihafal oleh ribuan manusia tidak kiralah sama ada lelaki atau wanita mahupun kanak-kanak yang mana tiada pada mana-mana kitab-kitab lain.
6. Kalam ALLAH ialah kitab sepanjang zaman.
Ia bukan sekadar kitab yang sesuai pada suatu masa sahaja atau generasi, tetapi sepanjang zaman dan semua tempat. Bahkan, ia hingga sekarang kalamullah itu tetap menjadi panduan dan pedoman dalam menempuh kehidupan.

7. Al-Quran kitab agama keseluruhannya.
Ia menjadi asas kepada agama dan roh Islamnya. Daripadanyalah diambil roh akidah, ibadah, akhlak dan usul tasyriq dan hukum-hakam.
8. Al-Quran merupakan kitab kemanusiaan sejagat.
Firman ALLAH SWT: “Al-Quran itu tidak lain hanya peringatan bagi seluruh penduduk alam.” (Surah at-Takwir: 27)
9. Ia selari dengan sains moden.
Memetik laporan beanahomequran.com, banyak fakta ilmiah yang terbongkar era moden kini yang nyata telah disebutkand alam al-Quran lebih dari 14 abad yang lalu.
Misalnya Prof Keith L Moore menerusi karyanya, The Developing Human menghuraikan bagaimana al-Quran mampu menggambarkan prsoses pembentukan embrio dengan tepat dan terperinci sedangkan teknologi pada masa itu tidak secanggih seperti hari ini.

10. Mempunyai gaya bahasa sastera yang tinggi dan tidak mampu ditandingi sesiapa pun.
Perkara itu turut diakui oleh musuh-musuh Islam sepertimana kata Al-Wahid bin Mughirah, tokoh pembesar Quraisy yang menyatakan: “Demi ALLAH, ini bukanlah syair, bukan sihir, bukan pula igauan orang gila. Sesungguhnya ia ialah kalamullah yang memiliki kemanisan dan keindahan. Sesungguhnya ia (al-Quran) sangat tinggi (agung) dan tidak ada yang melebihinya.”
11. Menjadi penawar untuk penyakit.
ALLAH SWT berfirman: “Dan KAMI turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Surah al-Isra’: 82)
12. Membaca al-Quran adalah ibadah dan sebagai penebus dosa.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakan yang alif lam mim itu satu huruf. Bahkan alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!